Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengekalkan harga petrol RON95 pada paras siling sedia ada walaupun berlaku lonjakan harga minyak mentah global susulan ketegangan geopolitik yang melibatkan Iran dan Israel.
Beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa harga RON95, yang telah kekal pada kadar tetap RM2.05 seliter sejak Februari 2021, tidak akan dinaikkan kerana langkah itu akan memberi kesan kepada rakyat dan juga ekonomi, laporan Bernama.
Tambah beliau walaupun kenaikan harga minyak memberi manfaat kepada syarikat petroleum negara, kerajaan berhasrat untuk mengelakkan bebanan kos bahan api yang lebih tinggi ke atas rakyat.
“Harga minyak turun naik. Buat masa ini ia agak rendah. (Jika) berlaku kenaikan mendadak, hasilnya baik untuk Petronas, tetapi ia menjejaskan negara-negara lain. Kita tidak menaikkan harga bahan api kerana kesannya kepada rakyat,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.