Meskipun Volvo secara global sedang menuju ke arah menjadi pengeluar kereta elektrik sepenuhnya, Volvo Car Malaysia tetap menegaskan bahawa gabungan model elektrik dan hibrid masih diperlukan dalam jangka masa pendek hingga sederhana.
Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia & Thailand, Chris Wailes berkata, syarikat masih komited untuk menjadi jenama kenderaan elektrik (EV), namun akan kekal fleksibel bergantung kepada keperluan pasaran semasa di setiap negara.
“Mulai sekarang, semua model baru yang kami lancarkan akan menjadi elektrik sepenuhnya. Strategi ini tidak berubah. Namun, kami perlu kekalkan pilihan seperti mild-hybrid dan plug-in hybrid (PHEV) kerana permintaan pelanggan berbeza-beza,” katanya.
Wailes menjelaskan, sasaran Volvo untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada jualan global adalah EV menjelang 2025 masih berada di landasan yang betul dan menjelang 2030, semua model akan menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya. Namun begitu, beliau mengakui kadar penerimaan EV berbeza mengikut negara.
Beliau juga sedar, jika terlalu tegas dengan satu hala tuju sahaja, mereka mungkin kehilangan pegangan pasaran, “yang mana itu adalah tidak masuk akal, sedangkan kita sudah sedia ada teknologi dan masih boleh membekalkan kepada pelanggan yang masih mahu membeli kenderaan Volvo, tapi masih dalam fasa peralihan kepada mild-hybrid atau PHEV, kepada BEV. Kami tidak akan lesap dalam PHEV dan mild-hybrid.”
Wailes menambah, masih ada pelanggan yang lebih gemar model hibrid ringkas, dan selagi ada permintaan, model itu akan terus ditawarkan. “Tidak kira lah besar atau kecil, jika ada pelanggan yang mahu membeli model itu dan hanya akan membeli kenderaan mild-hybrid, kami akan kekalkan kereta tersebut” ujarnya.
Namun, data menunjukkan trend pasaran semakin memihak kepada PHEV dan EV. Lebih 80% jualan Volvo tahun lalu terdiri daripada model PHEV dan EV sepenuhnya. Wailes turut melihat bahawa PHEV memainkan peranan penting sebagai ‘jambatan’ antara kereta petrol/diesel dan EV.
“Lebih 50% pemandu PHEV menggunakan mod elektrik sepenuhnya untuk perjalanan harian ke tempat kerja. Ini memberi mereka pengalaman menggunakan EV, tetapi dengan bantuan sokongan daripada enjin,” katanya.
Beliau juga mengakui bahawa EV mungkin belum sesuai untuk semua orang hari ini, tetapi keadaan itu akan berubah dalam masa terdekat. “Orang ramai tidak semestinya perlu ubah gaya hidup mereka untuk guna EV. Sebaliknya, mereka hanya perlu faham bagaimana mereka menggunakan kereta setiap hari. Dari situ, mereka akan tahu sama ada EV sesuai atau tidak,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.