Mulai Julai ini, penumpang yang menaiki penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dapat bergerak antara terminal utama dan bangunan satelit dengan menaiki Aerotrain apabila perkhidmatan tren ini kembali beroperasi secara rasmi. Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut memaklumkan perkhidmatan Aerotrain kini sedang dalam fasa ujian terakhir laporan Malay Mail.
“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa kita sedang memasuki fasa akhir ujian dalam beberapa hari akan datang. Jika semuanya berjalan lancar, kami telah memutuskan untuk membuka semula perkhidmatan tren ini pada jam 10 pagi, 1 Julai,” katanya.
Jelas beliau, sistem tersebut kini berada dalam fasa akhir ujian, yang melibatkan simulasi langsung pelan tindak balas kecemasan (ERP) dan kakitangan berkaitan. Beliau menambah bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan utama. “Keselamatan adalah sangat penting. Sebab itulah kami mengambil masa untuk menjalankan pelbagai ujian. Ujian-ujian ini dipantau sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.
Loke turut berkata sistem bas perantara sedia ada akan terus beroperasi bagi menyokong sistem Aerotrain sehingga prestasinya mencapai tahap optimum. “Apabila semuanya beroperasi pada tahap optimum, pihak pengurusan (Malaysia Airports Holdings Berhad) akan menentukan sama ada untuk menghentikan atau mengekalkan perkhidmatan bas tersebut,” katanya.
Beliau berkata Aerotrain, yang telah digantung operasinya sejak Mac 2023 susulan kerosakan, kini sedang menjalani fasa akhir ujian yang melibatkan simulasi langsung pelan tindak balas kecemasan (ERP) serta beberapa perkara berkaitan.
Dengan masa perjalanan kurang daripada dua minit, setiap set Aerotrain terdiri daripada tiga gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 90 orang setiap satu, menjadikan jumlah kapasiti 270 orang bagi setiap perjalanan. Pada waktu puncak, dua tren akan beroperasi, manakala hanya satu tren akan beroperasi pada waktu bukan puncak antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.