Zeekr secara rasmi memasuki pasaran Malaysia enam bulan lalu dengan menawarkan dua model EV iaitu SUV X dan MPV mewah 009 yang anda lihat menerusi galeri foto mega ini. Pencabar Alphard/Vellfire ini memulakan langkah dengan baik dan kini merekodkan sebanyak 402 unit telah didaftarkan di Malaysia sehingga akhir Mei, menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekaligus menjadikannya MPV EV ketiga paling laris setakat tahun ini.
Bagi 009 di pasaran Malaysia, ia hadir dengan tiga varian iaitu varian tujuh-tempat duduk Executive pada harga RM310,000, tujuh-tempat duduk Luxury pada RM350,000, dan enam-tempat duduk Ultra Luxury yang dipaparkan di sini yang berharga RM360,000. Varian Executive diberikan satu motor elektrik hadapan dengan 340 PS/373 Nm, manakala dua varian lagi menggunakan dua motor elektrik yang menghasilkan gabungan 612 PS/693 Nm. Namun, kesemua varian menggunakan pek bateri NMC 116 kWj yang sama, menjadikan varian Executive sebagai “raja jarak” dengan keupayaan 604 km mengikut piawaian WLTP.
Manakala dua varian lebih tinggi masih menawarkan jarak 582 km iaitu hanya kurang 22 km dengan kuasa 80% lebih tinggi, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat. Kadar pengecasan maksimum ialah 11 kW (AC) dan 150 kW (DC), di mana pengecas DC mampu mencapai status pengecasan dari 10% ke 80% sekitar setengah jam.
Dari segi kelengkapan, ketiga-tiga varian menawarkan ciri hampir serupa – semuanya didatangkan dengan suspensi udara dua-ruang, rim aloi 19-inci, lampu utama LED matrix, serta panel sentuh pada pintu gelangsar kuasa untuk akses pantas bagi kawalan pintu dan pendingin hawa.
Ciri standard lain termasuk sistem (ADAS) sepenuhnya dan tujuh beg udara, tempat duduk barisan hadapan dan tengah dengan fungsi urut dan pengudaraan, balutan kulit Nappa, peti sejuk 8.6-liter, bumbung suria panoramik, skrin siling OLED 17-inci dengan alat kawalan jauh, kamera di barisan tengah dan banyak lagi.
Perbezaan kelengkapan antara varian hanyalah Executive tidak mempunyai pintu depan soft-close dan stereng boleh laras kuasa, manakala Ultra Luxury yang hanya mempunyai enam-tempat duduk menampilkan tempat duduk tengah yang lebih lebar, mmembuatkan ia tidak boleh dilalui untuk ke barisan ketiga.
Selain itu, ia turut diberikan kluster instrumen digital 10.25-inci dan skrin sentuh OLED 15.05-inci, manakala konsol tengah menempatkan pad pengecas tanpa wayar 50W. Turut dilengkapi ialah paparan utama 39.95-inci dengan augmented reality (AR), sistem telematik, serta 30 unit pembesar suara Yamaha.
Zeekr 009 berukuran 5,209 mm panjang, 2,024 mm lebar, 1,848 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 3,205 mm – menjadikannya 200 mm lebih panjang, 174 mm lebih lebar dan 205 mm jarak roda lebih panjang berbanding Vellfire (RM438k) dan Alphard (RM538k). Setiap unit 009 disertakan dengan waranti kenderaan lima-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km dan dua-tahun perkhidmatan sambungan percuma.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.