Selain Hyundai Tucson 2025 dan Santa Fe 2025, Hyundai Motor Malaysia (HMY) turut mempertontonkan MPV Staria 2025. Menurut HMY, ketiga-tiga model facelift ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada minggu hadapan, 2 Julai 2025.
Berbanding dengan kedua-dua SUV tersebut, MPV Staria yang diperkenalkan di Korea pada Februari 2024, hanya melibatkan peningkatan minima iaitu melibatkan lencana aluminium baharu jenama ini dan kunci berbentuk logo H, yang kedua-duanya diambil dari Ioniq 6. Selain itu, kini ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan port USB-C (namun port yang disambung ke sistem infotainmen masih lagi USB-A), manakala pintu gelangsar berkuasa bebas tangan dengan berasaskan penderia kunci kini beroperasi sedikit lebih pantas.
Namun perubahan paling besar adalah pengenalan semula varian tujuh-tempat duduk yang diposisikan sebagai varian paling tinggi, yang diberi nama ‘Prestige’. Berbanding dengan varian Premium terdahulu yang dilancarkan pada tahun 2021, model baharu ini menerima kemasan berwarna gangsa pada lencana, sekeliling lampu hadapan, gril, spoiler hadapan, cermin sisi dan kemasan bampar belakang, walaupun selebihnya kelihatan hampir sama seperti model terdahulu. Di dalamnya pula, balutan kulit Nappa masih dikekalkan, tetapi kemasan Alcantara pada panel pintu dan konsol tengah telah digugurkan (manakala kemasan bumbung dalaman masih menggunakan material tersebut).
Ciri kelengkapan standard termasuk lampu hadapan LED, lampu nyalaan siang (DRL) jenis bar penuh lebar “unibrow”, lampu belakang LED jernih “Parametric Pixel”, rim aloi dua-tona 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pengudaraan, tempat duduk kapten barisan kedua Premium Relaxation berkuasa (larasan gelangsar manual) dengan fungsi pengudaraan, dan ottoman, upholsteri kulit Nappa, bumbung suria berkembar, kawalan suhu dua zon (depan dan belakang), serta pintu tailgate berkuasa bukaan bebas tangan.
Dari segi teknologi, ia masih diberikan paparan instrumen digital 10.25-inci dan sistem infotainmen lapan-inci, bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem kamera 360-darjah.
Varian tujuh-tempat duduk Prestige juga dilengkapi dengan pakej bantuan pemandu Hyundai SmartSense, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pergerakan kenderaan di hadapan, pemantau tahap kepekaan pemandu, amaran buka pintu, dan lampu tinggi automatik. Enam beg udara masih diberikan sebagai standard, namun cagak ISOFIX masih hanya dipasang pada barisan kedua tempat duduk sahaja sahaja.
Staria versi sepuluh-tempat duduk akan terus ditawarkan, dengan varian Style, Premium dan Prestige yang secara amnya sama dengan varian sedia ada iaitu Lite, Plus dan Max. Tiada perincian lanjut mengenai varian-varian tersebut buat masa ini, tetapi kita akan mengetahuinya apabila Staria versi facelift ini dilancarkan bersama model Tucson facelift dan Santa Fe baharu pada minggu hadapan, 2 Julai.
Di bawah bonet, ia masih lagi ditawarkan dengan enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm tork dari 1,500 hingga 2,500 rpm, disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Tiada penawaran enjin 1.6 liter turbo hibrid petrol seperti di Korea, walaupun diesel kini tidak lagi disubsidi di sini.
Dengan Staria sudah pun dipasang secara CKD di kilang Inokom di Kulim, Kedah, varian tujuh-tempat duduk Prestige dijangka ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah berbanding RM368,888 bagi model Premium lama. Sementara itu, model sepuluh-tempat duduk dijangka kekal dalam lingkungan harga sedia ada – RM183,888 untuk Lite, RM200,888 untuk Plus dan RM215,888 untuk Max.
Hyundai Staria 2025 Prestige versi 7-tempat duduk
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.