Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Hyundai Motor Company (HMC) telah mengumumkan bahawa ia kini menguruskan sendiri jenama automotif dari Korea Selatan itu untuk pasaran Malaysia menerusi prinsipal yang dikenali sebagai Hyundai Motor Malaysia (HMY). Boleh dikatakan HMY kini setaraf dengan Honda Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia dan pengeluar kenderaan (OEM) lain yang dikendalikan secara langsung oleh syarikat induk.
Sejak awal bulan ini akaun-akaun media sosial rasmi HMY termasuk Facebook, Instagram, Youtube, LinkedIn dan TikTok sudah pun diaktifkan. Malahan sejak minggu lalu, HMY yang turut menyatakan komitmen jangka panjangnya di Malaysia, mengesahkan bakal memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan.
Ini termasuklah SUV Tucson yang merupakan versi facelift terkini bagi generasi keempat Tucson yang pertama kali diperkenalkan pada akhir tahun 2020. Facelift ini mengekalkan kelebihan reka bentuk generasi NX4 dengan elemen Parametric Dynamics, tetapi kini menampilkan penggayaan yang lebih dinamik bagi menterjemahkan visi progresif pengeluar ini terhadap mobiliti masa depan.
Tucson 2025 menampilkan wajah hadapan dengan gabungan garisan nipis dan bersudut yang agresif pada gril radiator, ditambahkan dengan lampu utama tersembunyi jenis Parametric Jewel serta lampu nyalaan siang (DRL). Berbanding model sebelum facelift, Tucson 2025 hanya diberikan tiga LED dalam satu barisan, berbanding empat unit pada versi terdahulu, namun kali ini saiznya lebih besar dan berbentuk lebih bulat.
Manakala bamparnya juga diberikan sentuhan rekaan yang lebih bersudut bersama potongan lampu utama yang menyerlahkan lagi gaya agresifnya. Plat perak nipis (skid plate) kini memanjang dari hujung ke hujung. Selain itu, rim juga direka semula, manakala di bahagian belakang, skid plate kini diintegrasikan ke bampar dan dilebarkan secara mendatar, seiring dengan rekaan bahagian hadapan. Secara keseluruhan, penampilannya kini lebih lasak dengan gaya ala Santa Cruz, dan ia kelihatan lebih menarik pandangan.
Hyundai telah mengolah rekaan kabinnya lebih drastik, termasuk papan pemukanya yang mirip dengan model EV Ioniq 5 dan 6. Reka bentuk ‘waterfall’ pada model asal digantikan dengan susun atur mendatar dwi-skrin yang disambungkan, lengkap dengan jalur corong pendingin hawa yang merentangi papan pemuka. Stereng juga menerima rekaan baharu dengan unit tiga-jejari yang tidak menampilkan logo Hyundai, sama seperti yang terdapat pada model EV Ioniq.
Selain itu, panel sesentuh futuristik juga dipertaruhkan, dan konsol tengah ‘terapung’ turut dipertaruhkan termasuk butang pemilih gear yang sebelum ini terletak di konsol tengah kini digantikan dengan suis tuil pada stereng. Hasilnya ialah ruang yang sangat terbuka di antara tempat duduk hadapan, dan mempunyai banyak ruang storan.
Di Malaysia, kita menerima Tucson 2025 dengan versi jarak roda yang panjang (LWB) berbanding yang ditawarkan di Amerika Syarikat. Ia berukuran 4,630 mm panjang dan 1,865 mm lebar, namun SUV segmen-C buatan Hyundai ini adalah 61 mm lebih pendek dan 1 mm lebih sempit berbanding Honda CR-V. Sementara bagi jarak rodanya, Tucson berukuran 2,755 mm iaitu 75 mm lebih panjang berbanding versi jarak roda standard yang terdapat di beberapa pasaran termasuk Eropah, serta 54 mm lebih panjang berbanding CR-V. Untuk ruang butnya, ia berkapasiti 582 liter, dan boleh ditambah sehingga 1,903 liter apabila tempat duduk belakangnya dibaringkan.
Bagi aspek mekanikalnya, Tucson 2025 ditawarkan dengan tiga pilihan enjin iaitu 2.0 MPI dengan hamburan kuasa 156 PS/192 Nm yang turut diberikan kotak gear automatik enam-kelajuan, 1.6 TGDI dengan 180 PS/265 Nm serta transmisi DCT tujuh-kelajuan. Dan varian tertinggi pula diberikan enjin baharu yang lebih padu iaitu 1.6T HEV dengan hamburan kuasa 235 PS dan tork 367 Nm bersama kotak gear automatik enam-kelajuan.
Perincian penuh dan harga untuk barisan Tucson 2025 akan didedahkan sepenuhnya dalam majlis pelancarannya yang bakal berlangsung pada awal bulan hadapan. Bagi yang berminat untuk memiliki Tucson 2025 ini sudah boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran Hyundai berhampiran untuk menempahnya.
Menurut Pengarah Urusan HMY Jahabarnisa Haja Mohideen, pihaknya turut merancang untuk memulakan pengeluaran secara tempatan (CKD) pada suku ketiga tahun ini. Bukan itu sahaja, dalam tempoh lima tahun akan datang, HMY merancang untuk memperkenalkan tujuh model versi CKD dan dalam masa yang sama bakal memperluaskan lagi rangkaian pengedarannya ke 25 lokasi menjelang tahun 2030.
Hyundai Tucson 1.6T HEV 2025
Hyundai Tucson 1.6TGDI 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.