Kita di Malaysia mungkin melihat model generasi baharu Toyota Land Cruiser Prado generasi terkini (siri 250) sebagai sebuah SUV gaya hidup dengan rupa yang begitu segak. Namun di United Kingdom, Toyota telah memperkenalkan Prado berkenaan dalam versi khas untuk anda ‘belasah’ sebagai kenderaan perdagangan – ini dia Toyota Land Cruiser Commercial.
Model ini merupakan produk halo dalam barisan kenderaan komersial ringan Toyota Professional di UK. Ia dihasilkan oleh kilang Burnaston Toyota Manufacturing UK di Derbyshire yang melakukan proses transformasi dari Prado siri 250 biasa kepada versi Commercial ini dengan ‘membuang’ tempat duduk belakang.
Bukan itu sahaja, lantai ruang kabin belakang turut dipadankan dengan panel plat logam bersama dinding sekat logam untuk mengasingkan kabin hadapan bagi tujuan keselamtan, tetapi ia masih menggunakan jaring agar ruang tersebut masih boleh di lihat dari tempat duduk hadapan.
Menurut Toyota, ini telah mewujudkan ruang kargo dengan dimensi tinggi 1,090 mm, panjang 1,685 mm dan lebar maksimum 1,286 mm, atau secara kapasiti ia memberikan ruang sebesar 2,000 liter. Land Cruiser ini juga mempunyai kapasiti menunda beban sehingga 3.5 tan.
Untuk kelengkapan, Land Cruiser Commercial ini menerima rim aloi 18-inci, tempat duduk pemandu larasan elektrik, tempat duduk hadapan dan roda stereng dengan pemanas, pintu tailgate belakang berkuasa dengan tingkap yang boleh dibuka berasingan, cermin pandang belakang auto-malap, brek parkir elektronik, penghawa dingin dua zon, skrin infotaimen sembilan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense.
Ia digerakkan dengan enjin turbodiesel 2.8 liter empat-silinder sebaris yang digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan. Sistem pacuan semua roda kekal turut dibekalkan dan diberikan pelbagai bantuan pemanduan off-road termasuk Crawl Control, Kawalan Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Bantuan Turun Cerun dan pelbagai lagi mod pemanduan.
“Berada di bahagian paling atas barisan produk Toyota Professional, ia menyediakan pilihan menarik kepada pelanggan yang tidak memerlukan keupayaan membawa beban atau tempat duduk tambahan seperti trak pikap Hilux, tetapi mahukan faedah prestasi off-road yang serius, ketenangan di atas jalan dan pelbagai ciri keselesaan, keselamatan dan kemudahan sebagai standard,” kata Toyota UK dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Toyota Land Cruiser Commercial ini akan dijual bermula 1 Ogos 2025 dengan harga bermula 52,729 pound (sekitar RM304k). Pelanggan terawal yang menempahnya akan menerima kereta masing-masing bermula bulan September. Toyota UK turut mengesahkan bahawa varian yang dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48V turut akan ditawarkan selepas ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.