Chery C5 dilancarkan di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan nama baru, suspensi multi-link, dari RM83k

Chery C5 dilancarkan di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan nama baru, suspensi multi-link, dari RM83k

Chery Omoda 5 facelift kini dilancarkan di pasaran Indonesia dan di sana ia menggunakan nama baru iaitu Chery C5, dengan penjenamaan Omoda digugurkan sepenuhnya. Versi facelift ini pertama kali diperkenalkan di Rusia pada September 2024 dan telah pun memasuki beberapa pasaran pemanduan sebelah kanan seperti Australia.

Melihat kepada bahagian luar, Chery C5 tampil dengan wajah baru yang lebih moden dan kemas. Lampu siang LED kini menggunakan bentuk anak panah seperti yang terdapat pada model elektrik E5 dan disambungkan dengan jalur hitam merentangi bahagian hadapan.

Meskipun penjenamaan Omoda telah digugurkan, tulisan “Omoda” masih ada pada jalur tersebut, mungkin bagi mengekalkan sedikit identiti asal. Bahagian bampar hadapan juga direka semula dengan bentuk X yang lebih berani, manakala gril berserta kemasan krom sebelum ini digantikan dengan corak petak sama warna dengan badan. Bahagian belakang tidak menerima sebarang perubahan besar dan masih mengekalkan lencana Omoda.

Chery C5 dilancarkan di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan nama baru, suspensi multi-link, dari RM83k

Ciri luaran lain yang diperbaharui termasuk rekaan rim aloi. Model asas C5 menggunakan rim bersaiz 17 inci, manakala varian tertinggi pula dipadankan dengan rim 18 inci serta dilengkapi bumbung panoramik. Kemasan merah yang sebelum ini digunakan pada bahagian luar dan rim kini tidak lagi digunakan, manakala warna badan baru dikenali sebagai Red Ruby disediakan sebagai pilihan yang lebih segar kepada pembeli.

Di bahagian dalam, tiada perubahan reka bentuk diperkenalkan, namun spesifikasinya menerima beberapa penambahan dari aspek teknologi dan keselesaan. Antaranya ialah penapis udara PM 0.3 serta sokongan sistem Internet of Vehicle (IOV). Ciri keselamatan turut dipertingkat menerusi sistem ADAS yang kini merangkumi Traffic Jam Assist dan Intelligent Avoidance System.

Untuk prestasi, Chery C5 masih menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo yang berkemampuan 145 hp dan 230 Nm tork, namun begitu transmisi CVT sebelum ini telah digantikan dengan transmisi automatik klac berkembar (DCT) 6-kelajuan. Untuk pasaran tertentu di luar Indonesia, model ini turut ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS dan 290 Nm, dipadankan bersama transmisi DCT 7-kelajuan. Bahagian suspensi belakang juga telah dinaik taraf daripada sistem torsion beam kepada multi-link.

Chery Omoda 5 facelift pasaran Rusia

Di pasaran Indonesia, Chery C5 ditawarkan pada harga 319.9 juta Rupiah (RM83,413) bagi varian Z, manakala varian tertinggi RZ dijual pada harga 349.9 juta Rupiah (RM91,235). Menariknya, Chery turut mengadakan promosi eksklusif yang merangkumi waranti enjin selama 10 tahun atau satu juta kilometer, waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km serta servis dan alat ganti percuma selama empat tahun atau 60,000 km.

Dengan peningkatan ketara dari segi reka bentuk, prestasi dan teknologi, tidak mustahil Chery C5 bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Ia berkemungkinan diperkenalkan di bawah jenama Chery utama, bukan lagi melalui jenama Omoda atau Jaecoo yang lebih premium.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required