JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

Semalam tular gambar sebuah Toyota GR86 menerima grafik badan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di media-media sosial. Jadi betul ke jabatan berkenaan dah guna kereta sport dua pintu tersebut untuk tugas-tugas rondaan? Jawapannya, tidak.

Perkara sebenar telah didedahkan oleh laman Facebook rasmi perlumbaan Super GT Malaysia yang menyatakan bahawa Toyota GR86 tersebut sebenarnya adalah Safety Car yang akan digunakan dalam perlumbaan GR86 Cup Malaysia, di mana pusingan pertama siri ‘one make’ berkenaan akan berlangsung sekali dengan perlumbaan Super GT Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

Kami turut difahamkan bahawa pihak penganjur perlumbaan berkenaan iaitu Haro Sports & Entertainment telah bekerjasama dengan pihak JPJ, membolehkan Safety Car tersebut menggunakan grafik badan kereta peronda jabatan itu. Dari gambar yang disiarkan juga dapat dilihat Haro menggunakan GR86 dengan spesifikasi yang sama seperti kereta lumba GR86 Cup sebagai asas untuk Safety Car berkenaan.

Haro telah membawa 30 unit GR86 dalam spesifikasi Cup Car bagi dijual kepada mana-mana pihak yang berminat menyertai siri perlumbaan tersebut. Siri GR86 Cup ini sebenarnya turut dianjurkan di pelbagai negara lain termasuk Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

Jentera ini diasaskan dari varian ‘kosong’ GR 86 RC pasaran Jepun yang datang tanpa aksesori seperti sistem infotainmen, dan hanya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan. Varian ini hanya menampilkan berat keseluruhan 1,260 kg, tetapi mencapai 1,290 kg selepas ia siap sebagai sebuah kereta lumba. Ia juga masih menampilkan enjin FA24D 2,387 cc boxer empat-silinder tanpa pengecas turbo menghasilkan 227 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,700 rpm.

Bagi menjadikan ia sebuah jentera dalam spesifikasi Cup Car, GR86 ini diberikan tingkat taraf seperti sistem ekzos Fujitsubo, set klac plat tunggal perlumbaan dari Cusco dan penyejuk minyak transmisi. Talaan enjin masih lagi standard, namun talaan pada respons pendikit dibenarkan dengan penggunaan pengawal pendikit elektronik bagi memberikan kawalan pedal dan respon yang lebih baik kepada pemandu.

Manakala untuk casis, kereta lumba ini diberikan set suspensi perlumbaan KW Racing dan juga set-set bushing suspensi dari TRD. Kereta lumba ini juga diberikan LSD jenis 1 Way pada gandar belakang, manakala sistem stereng berkuasa elektrik mendapat talaan semula.

Dari kilang GR86 RC ini juga sebenarnya hanya datang dengan set rim besi 16-inci bersama tayar bersaiz 205/55R16. Namun untuk perlumbaan di Malaysia ini, semua pasukan diwajibkan untuk meggunakan set rim aloi forged dari jenama tempatan, Raxer RP10X berdiameter 17-inci dan lebar 8 jj, dibalut dengan tayar rasmi untuk siri ini di Malaysia iaitu Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17.

Manakala di sebalik set roda berkenaan tersorok set brek Advics dengan angkup empat omboh bersama cakera dua bahagian 345 mm x 30 mm di hadapan, dan juga angkup dua omboh bersama cakera 330 mm x 26 mm di belakang.

Kesemua 30-unit kereta lumba ini juga akan datang sekali dengan set rollcage berdiameter 40 mm yang menerima kelulusan undang-undang pertandingan JAF di Jepun, tempat duduk bucket Bride Zeta untuk pemandu yang lengkap bersama tali pinggang keselamatan enam-point, dan juga kelengkapan HANS.

Selain itu ia juga datang dengan sistem pemadam api dan kill switch di luar dan dalam kabin bagi mematikan arus elektrik sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan, pin bonet keselamatan dan juga cangkuk tunda di hadapan dan belakang bagi memudahkan kerja-kerja menunda di dalam litar.

JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

Pusingan pertama GR86 Cup Malaysia ini akan menjadi perlumbaan sokongan untuk Super GT di Sepang yang sebenarnya telahpun bermula hari ini. Perlumbaan utama akan bermula esok dan berlangsung selama 10-lap. Sebanyak tiga pusingan akan diadakan sepanjang 2025, di mana pusingan kedua berlangsung bersama perlumbaan 300 km Malaysia Championship Series, manakala pusingan terakhir akan dibuat dalam format endurance di mana peserta perlu menghabiskan 86 lap. Ke semua pusingan akan berlangsung sepenuhnya di Sepang.

Masih belum terlambat untuk anda membeli tiket bagi menyaksikan perlumbaan ini. Haro Sports & Entertainment sebelum ini turut telah mengumumkan bahawa penonton yang datang akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.

Bagi membolehkan layak menyertai cabutan bertuah ini, anda perlulah membeli tiket (kecuali tiket Grandstand K1) dengan menggunakan Mastercard. Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia atau di Litar Sepang ketika perlumbaan berlangsung. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream.

GALERI: Toyota GR86 Cup Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required