Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mendedahkan senarai syarikat pengusaha bas ekspres dan lori yang memiliki banyak saman trafik tertunggak atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Menurut Menteri MOT Anthony Loke, pihak berkuasa mengenalpasti 11 pengusaha lori dengan lebih 1,000 saman tertunggak dan 17 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 saman tertunggak. Beliau menambah bahawa senarai itu turut mendedahkan terdapat sebuah syarikat mempunyai 22,017 saman tertunggak sahaja. Tujuan mendedahkan senarai ini juga adalah untuk memberikan amaran kepada orang lain.
Katanya lagi, lima kesalahan utama yang dilakukan oleh syarikat kenderaan komersial berat ialah kesalahan teknikal (brek/tayar tidak mengikut spesifikasi kenderaan/ serta pengubahsuaian kenderaan), pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, lebih muatan kenderaan, tiada cukai jalan (LKM) dan insurans yang sah, dan memandu melebihi had laju.
Bagi pengusaha bas ekspres, lima kesalahan paling biasa yang dilakukan ialah memandu melebihi had laju, melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas (termasuk memandu lama di lorong paling kanan, memotong barisan, dan pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu), kesalahan teknikal, pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, serta tiada cukai jalan (LKM) dan insurans yang sah.
Loke berkata bahawa semua syarikat yang terlibat telah diberi tempoh 14 hari dari tarikh pengumuman untuk menyelesaikan semua saman tertunggak di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan. “Kegagalan untuk berbuat demikian akan diikuti dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, termasuk menyenaraihitamkan kenderaan serta-merta,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, dan mengingatkan semua pengusaha kenderaan komersial supaya menyemak dan menyelesaikan semua saman tertunggak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.