Pemegang hak dan promoter untuk perlumbaan Autobacs Super GT pusingan Malaysia iaitu Haro Sports & Entertainment telah mengumumkan bahawa wakil dari Malaysia bakal menerima ‘wildcard’ bagi kategori tertinggi GT500 untuk bersaing dalam perlumbaan tersebut tahun hadapan.
Menurut rakan pengurus Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan, proses penyertaan untuk kategori GT500 berkenaan kini sedang berjalan.
“Ia bukan penyertaan wildcard untuk Malaysia, tetapi ia adalah penyertaan Super GT Malaysia [Haro Sports]. Jadi pemandu-pemandu yang akan dipilih [mungkin atau bukan] rakyat Malaysia,” kata Fahrizal dalam sesi sidang media bersama pengerusi GT Association, Masaski Bandoh Sabtu lalu ketika berlangsungnya pusingan ke-3 Autobacs Super GT 2025 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Menurutnya lagi walaupun ia berstatus wildcard, ia akan membabitkan pasukan rasmi pengeluar, bukan pasukan persendirian atau menerusi program perlumbaan pelanggan, manakala pengeluar yang terlibat dalam rancangan ini kelak akan mempunyai pengaruh yang besar untuk pemilihan pemandu. Fahrizal menegaskan ia tidak akan berjaya sekiranya tidak melibatkan pasukan pengeluar rasmi.
Buat masa sekarang hanya tiga pengeluar yang bertanding dalam kategori GT500 iaitu Honda, Toyota dan Nissan, jadi kerjasama tersebut mungkin akan terjalin menerusi tiga OEM ini. Namun tidak mustahil kerjasama akan dijalinkan bersama pengeluar-pengeluar dari Eropah.
Ini kerana jentera-jentera yang bertanding dalam kategori GT500 merupakan jentera yang dibina berdasarkan regulasi FIA Class 1, di mana ia pernah digunakan oleh kejohanan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) dari musim 2019 hingga 2020. Jadi jentera Class 1 yang dibangunkan pengeluar Eropah seperti Aston Martin, Audi dan BMW juga layak untuk menyertai Super GT dalam kelas GT500.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.