Hap Seng Star telah pun menyiarkan poster di atas ini menerusi laman Facebook rasminya, mengumumkan bahawa Mercedes-Benz EQV facelift 2025 akan dilancarkan di Malaysia esok. Pertama kali di Malaysia, van elektrik ini akan dilancarkan rasmi di sini oleh pengedar kenderaan komersil Mercedes-Benz, Hap Seng Trucks Distribution.
Tiga tahun yang lalu, EQV 300 telah dibawa masuk oleh Weststar dan versi pre-facelift itu dijual pada harga RM485k. Kali ini, kita mendapat versi facelift, yang telah didedahkan di peringkat global pada tahun 2023. Walau bagaimana pun, ia masih berasaskan platform W447 generasi ketiga.
EQV hanya ditawarkan dengan kemasan Avantgarde. Mungkin pasaran kita akan menerima beberapa ciri yang dipaparkan seperti dalam foto tersebut termasuklah pencahayaan LED, perkataan Mercedes-Benz pada bahagian bawah tingkap belakang dan di dalamnya juga diberikan corong udara baharu, switchgear baharu dan juga dua skrin 12.3-inci (dijanakan oleh sistem MBUX terkini) yang disambungkan antara satu sama lain.
Jika kita mendapat EQV 300, ia dijangkakan dipadankan dengan motor elektrik yang dipasang hadapan dengan kuasa 204 PS/362 Nm, bateri 90-kWh, jarak gerak 340 km, status pengecasan antara 10-80% dalam 45 minit dengan pengecas DC 110 kW dan 10 jam jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW. Selain itu, ia juga dilengkapi tujuh tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3, sama seperti EQV 300 yang dijual oleh Weststar.
Perincian penuh dan harga untuk van elektrik ini akan diketahui sewaktu dilancarkan esok. Sebagai perbandingan, Vito Tourer janaan petrol kini berharga RM435k, meningkat dari RM342k-RM360k ketika ia dilancarkan pada 2021. Malah ada Edisi Khas seperti Maybach yang berharga RM380k.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.