Proton X50 facelift 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

Lima tahun selepas pertama kali diperkenalkan untuk pasaran tempatan, SUV segmen B Proton X50 akhirnya diberikan sentuhan facelift yang lebih segar — Proton menggelarnya model serba baru — dengan melibatkan banyak kemaskini dan pembaharuan.

Berdasarkan imej rasmi yang didedahkan, Proton X50 2025 diberikan pembaharuan rekaan di luar dan dalaman. Lebih penting, enjin serba baru juga ditawarkan kali ini. Enjin yang dimaksudkan ialah unit i-GT 1.5 litre TD (turbo direct injection, bukan turbo diesel). Proton belum menyatakan dengan jelas perincian enjin yang digunakan tersebut, tetapi telah memaklumkan janaan outputnya — 181 PS dan 290 Nm tork. Ini melibatkan peningkatan sebanyak 4 PS dan 35 Nm tork berbanding enjin lama.

Lebih menarik, angka berkenaan sama dengan janaan enjin Geely Binyue L yang dijual di China. Jika betul, ini bermakna X50 kini menggunakan enjin empat-silinder yang sama, dan bermaksud enjin tiga-silinder terdahulu akan digugurkan. Ia bagaimanapun masih diganding dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dengan pacuan roda depan.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Proton mendakwa penggunaan bahan apinya 4.7% lebih jimat. Setakat ini, tidak dinyatakan versi janaan lebih rendah untuk menggantikan unit port-injected PFI tiga-silinder, yang digunakan untuk varian lebih rendah sebelum ini — jika ada.

Bukan hanya enjin yang dipinjam daripada Binyue L, sebaliknya keseluruhan gaya luaran juga nampak seperti mengikut jejak yang sama. Proton menerima penampilan rekaan terkini bagi model berkenaan, yang diperkenalkan di China pada November 2024.

Wajah depannya hadir dengan rekaan baru, dengan lampu utama LED reflektor (tiada lagi jenis projektor, tetapi kali ini datang dengan DRL tiga jalur sama seperti S70), gril bahagian bawah yang besar dengan kemasan bucu bentuk L, serta bahagian fender yang baru untuk menempatkan lanjutan tiang A krom ala S70. Gril juga baru dan khusus untuk model Proton, dengan kembalinya jalur merah “busur panah”. Bonet juga turut diberikan rekaan baru, dengan bukaan udara hiasan.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

Bahagian belakang juga diberikan banyak sentuhan semula, dengan rekaan lampu belakang berkelebaran penuh serta pintu baru dengan kedudukan nombor plat yang lebih ke bawah. Bampar diberikan kemasan sudut bentuk L, dengan mengekalkan diffuser besar serta hadir dengan empat muncung ekzos.

Yang terakhir, model varian Flagship yang didedahkan ini datang dengan spoiler belakang baru; lebih besar dan ketara terlihat. Ia juga menggunakan rim 18-inci rekaan baru dua-tona dengan permukaan berpetak, dengan tayar Continental UltraContact UC6 yang sama seperti sebelum ini.

Perubahan lebih besar pula ada di dalam — rekaan papan pemuka yang khusus untuk Proton, dan tidak dikongsi dengan model Geely yang lain. Ia juga kekal dengan dua tona warna hitam-merah. Seluruh rekaan papan pemuka mungkin dilakukan sendiri oleh Proton, dengan bahagian konsol tengah terapung yang menempatkan pengecas tanpa wayar Qi, dua ruang untuk cawan, serta barisan butang untuk hidupkan/matikan pendingin, kawalan pendingin automatik, penyah-kabus cermin depan dan lampu kecemasan.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

Kawalan pendingin lainnya pula telah dialihkan ke dalam skrin sentuh infotainmen bersaiz 14.6-inci. Antaramukanya pula kelihatan sama dengan sistem Flyme Auto pada eMas 7, tetapi kini hadir dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan suara dalam Bahasa Melayu. Aplikasi mudah alih Proton Link 2.0 juga tersedia, dengan fungsi seperti kebiasaannya.

Selain itu, paparan instrumen nampak lebih besar daripada model sedia ada yang menggunakan unit bersaiz tujuh-inci, sementara tuil pemilih gear dialih ke bahagian kolum stereng. Roda stereng tiga jejarinya bagaimanapun sama seperti model yang lama. Ciri baru lain termasuk sistem lampu ambient dengan 72-warna yang antaranya boleh dilihat di bahagian pemegang pintu dan jalur corak depan penumpang depan.

Selebihnya, kabin X50 2025 terlihat sama seperti model lama, termasuklah kerusi yang dibalut kulit buatan warna hitam-merah, dengan larasan elektrik untuk pemandu. Varian Flagship juga akan dilengkapi dengan bumbung kaca panoramik.

Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

Sistem bantuan pemandu pula datang dengan kamera yang dipertingkat serta sensor radar di belakang. Ia bertujuan memberikan bantuan pemanduan autonomous Tahap 2, mungkin dengan peninjau titik buta. Fungsi Park Assist juga diperkemas, sementara sistem kamera 360-darjah menerima fungsi pandangan telus. Belum diketahui sama ada fungsi ADAS ini hanya akan ditawarkan untuk varian Flagship atau untuk semua.

Proton X50 facelift 2025 akan ditawarkan dalam varian Executive, Premium dan Flagship (tiada lagi varian Standard), dan didatangkan dalam lima pilihan warna — Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver dan warna baru Teal Bayou Blue seperti S70, menggantikan warna Ocean Blue. Pendaftaran minat kini dibuka di laman rasmi Proton.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required