Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

Seminggu selepas dipertontonkan, Hyundai Santa Fe 2025 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Diedarkan oleh syarikat prinsipal yang baru ditubuhkan, Hyundai Motor Malaysia (HMY), SUV tujuh-tempat duduk generasi kelima ini tiba di sini kurang 10 bulan selepas model facelift generasi keempatnya dilancarkan, sekaligus menawarkan rekaan baru yang menawan, ruang dalaman lebih menarik serta pilihan enjin petrol turbo yang lebih berkuasa.

Ketika pelancarannya, model ini diimport sebagai unit CBU, dengan perancangan versi CKD dijangka bermula tahun ini. Santa Fe 2025 ditawarkan dalam tiga varian: HEV Prime paling asas yang dijual dengan harga RM225,000, sementara HEV Prestige dijual dengan harga RM245,000. Varian paling lengkap, 2.5T Calligraphy pula dijual dengan harga RM270,000. Semuanya harga atas jalan, belum termasuk insurans, dan diberi jaminan lapan-tahun/160,000 km.

Versi hibrid kekal menggunakan sistem janaan kuasa model terdahulu, dengan unit 1.6 liter turbocas dan suntikan terus (T-GDi) Smartstream empat-silinder petrol yang menghasilkan 180 PS pada 5,500 dan 265 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan pula dengan sebuah motor elektrik 65 PS/264 Nm dan transmisi automatik enam-kelajuan untuk memberikan output keseluruhan 235 PS dan 367 Nm (naik 5 PS dan 17 Nm berbanding model lama) yang disalurkan ke roda depan.

Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

Sementara itu, varian Calligraphy menerima enjin 2.5 liter T-GDi serba baru yang memberikan 281 PS pada 5,800 rpm dan 422 Nm antara 1,700 rpm-4,000 rpm. Ini digandingan dengan transmisi klac berkembar DCT lapan-kelajuan serta pacuan semua roda HTRAC dari Hyundai. Tiada lagi pilihan untuk enjin diesel kali ini, selari dengan penawarannya di pasaran lain global.

Pilihan 1.6 liter turbo hibrid dan platform N3 yang digunakan adalah satu-satunya persamaan yang diwarisi daripada model lama. Selebihnya, semua serba baru, terutamanya rekaan bersegi yang ditampilkan, yang kelihatan mirip pendekatan rekaan oleh Land Rover. Dengan rekaan berkotak ini, ruangan yang tersedia di dalam lebih luas.

Reka bentuk selebihnya memenuhi keperluan penggunaan urban dan juga untuk aktiviti lasak, dengan adanya sentuhan seperti permukaan kesat, bahagian kaca dan cermin yang luas dengan pemegang pintunya tersembunyi di tiang C untuk memudahkan akses kepada bumbung, kurang lengkung serta bahagian belakang menegak.

Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di M’sia — 1.6T hibrid dan 2.5T petrol, jaminan 8-tahun; harga dari RM225k

Wajah depannya juga berimej kental dengan kedudukan bonet yang tinggi serta lampu utama bentuk H. Ini ditambah dengan bampar lebar dengan perincian warna badan — pendekatan yang sama untuk bahagian belakang. Overhang depan juga pendek, sementara lengkuk fender bersegi yang ada memuatkan rim aloi 21-inci, sesuai dengan jarak roda 2,815 mm yang dimiliki.

Jarak roda berkenaan ialah 65 mm lebih panjang daripada model lama, dengan saiz keseluruhan yang juga hampir sama, walaupun model generasi kelima ini nampak lebih besar. Model baru ini mempunyai ukuran 4,830 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi; ini 45 mm lebih panjang, 35 mm lebih tinggi serta lebar yang sama dengan model semasa. Kedua-dua model berkenaan juga menggunakan platform yang sama, yang mula diperkenalkan pada pertengahan kitaran hayat model generasi keempat tersebut.

Varian Prime datang dengan rim saiz 20-inci lima-jejari dengan dua-tona serta kemasan badan plastik, sementara Prestige menerima tambahan kemasan perak di kelilingnya. Varian Calligraphy pula tampil lebih menonjol dengan pelapik badan berkilat dan rim 21-inci hitam kesat.

Rekaan dalamannya juga sangat berbeza dari model generasi keempat. Ia lebih mewah dan menampilkan rekaan bersih, material berkilat sebagai kemasan antara yang menjadi elemen utama. Rekaan bentuk H juga boleh dilihat diteruskan pada rekaan kabinnya, serta ada juga corong pendingin berkelabaran penuh.

Di atas corong terletak sebuah paparan skrin lebar melengkung yang terdiri daripada panel instrumen 12.3-inci dan paparan untuk infotainment. Sebelah penumpang pula menerima dua glovebox; dengan bahagian atasnya turut dilengkapi dengan ciri pensterilan UV untuk varian lebih tinggi. Penggunaan butang capacitive touch pula masih dikekalkan untuk kawalan pendingin, tetapi untuk kawalan suhu ia menggunakan tombol fizikal.

Ruang storan di konsol tengah juga direka semula kerana tuil pemilih gearnya sudah berpindah ke belakang stereng, seperti pada Ioniq. Kini ada dua pad pengecas tanpa wayar Qi, sementara storan perehat lengannya boleh dibuka dari depan dan belakang. Kerusi Relaxation Seat dengan perehat kaki penumpang depan juga boleh direbah dengan hanya satu sentuhan — ciri yang sama ada untuk Ioniq 5 dan 6.

Ruang penumpang belakang juga rata-ratanya lebih luas; kerusi barisan ketiganya disifatkan memberi ruang terbaik bagi kenderaan dalam kelasnya, dan 10-darjah lebih condong. Untuk masuk ke situ, kerusi barisan kedua boleh dilipat dengan hanya satu sentuhan.

Kedua-dua kerusi paling belakang boleh dilipat rata untuk memberikan ruang yang luas untuk digunakan, terutama ketika pintu ruang barangan dibuka. Ruang but yang tersedia ialah 628 liter, manakala ketika kerusi barisan kedua dilipat, ia menjadi 1,949 liter. Kelengkapan lain yang ada termasuk cermin pandang belakang digital, head-up display 12-inci dan banyak slot USB-C dalam kabin, dengan kapasiti hingga 27 watt.

Dari segi keselamatan, ada banyak ciri bantuan pemandu yang tersedia. Ini termasuklah AEB generasi kedua dengan pengesan kenderaan depan dan bantuan stereng evasif, kawalan melayar dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar kemalangan, amaran lintasan trafik depan dan belakang dengan brek automatik, amaran bukaan pintu dan pengingat penumpang kerusi belakang. Bantuan parkir jarak jauh juga tersedia, dan 10 beg udara adalah standard.

Bagi aspek keselamatan, Santa Fe 2025 ini datang lengkap dengan ciri bantuan pemandu, termasuklah AEB generasi kedua dengan pengesan kenderaan dari depan serta bantuan stereng evasif, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, amaran lintasan trafik di depan dan belakang dengan Auto Brake, amaran buka pintu serat pengingat kerusi belakang.

Varian Premium ke atas menerima ciri Bantuan Parkir Jarak Jauh dengan menggunakan butang pada logo H di kunci. Jumlah beg udara standard kini ada 10, termasuk untuk lutut pemandu. Kawalan kestabilan juga adalah standard.

Hyundai Santa Fe 1.6L HEV Prime 2025

Hyundai Santa Fe 1.6L HEV Prestige 2025

Hyundai Santa Fe Santa Fe 2.5 T-GDi HTRAC Calligraphy 2025

Risalah rasmi Hyundai Santa Fe 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required