Hyundai Tucson facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – tiga pilihan enjin, harga dari RM143,888 ke RM197,888

Hyundai Tucson facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – tiga pilihan enjin, harga dari RM143,888 ke RM197,888

Hyundai Motor Malaysia (HMM) secara rasmi melancarkan Hyundai Tucson versi facelift untuk pasaran tempatan, hanya seminggu selepas model ini dipertonton kepada umum. SUV generasi keempat ini diperkenalkan bersama dua lagi model iaitu Hyundai Santa Fe generasi kelima dan Hyundai Staria yang dikemas kini, dalam usaha syarikat itu untuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia.

Untuk pasaran Malaysia, Tucson facelift ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), namun unit awal yang dilancarkan merupakan model import sepenuhnya (CBU). Terdapat empat varian ditawarkan, melibatkan tiga pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin NA biasa, enjin pengecas turbo dan hibrid.

Harga rasmi bagi Tucson facelift bermula daripada RM143,888 untuk varian Style 2.0 MPi, diikuti varian pertengahan, Tucson Prime dengan enjin 1.6T-GDi dijual pada harga RM164,888. Sementara itu, dua varian tertinggi ialah Tucson Prestige 1.6T-GDi AWD yang dijual pada RM186,888 dan Tucson Prestige 1.6T-GDi Hybrid pada harga RM197,888. Semua harga adalah tidak termasuk insurans.

Hyundai turut menawarkan jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km untuk setiap pembelian dan untuk 100 pembeli pertama, pelanggan akan menerima lapan kali servis percuma. Model Style merupakan varian asas dengan enjin NA, diikuti oleh varian Prime sebagai pilihan pertengahan. Kedua-dua varian Prestige menawarkan spesifikasi tertinggi, dengan perbezaan dari segi sistem pacuan dan teknologi enjin.

Dari aspek prestasi, enjin 2.0 liter NA MPi menghasilkan kuasa 156 PS dan tork 192 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Untuk varian turbo 1.6 liter T-GDi, enjin ini menghasilkan 180 PS dan 265 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Pilihan hibrid pula menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama motor elektrik, yang secara keseluruhannya menghasilkan 235 PS dan 367 Nm, dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Reka bentuk luaran Tucson facelift mengekalkan gaya tajam generasi keempat, namun dengan beberapa perubahan. Bampar depan direka semula menjadi lebih bersegi, bersama elemen kontras dan bahagian bawah yang lebih menonjol. Gril hadapan turut direka semula, manakala susunan lampu siang (DRL) kini berkurang daripada empat kepada tiga unit LED. Rim menerima rekaan baru dan di bahagian belakang, skid plate kini disepadukan dengan bampar dan lebih lebar, sekata dengan rekaan bahagian hadapan.

Hyundai Tucson facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – tiga pilihan enjin, harga dari RM143,888 ke RM197,888

Untuk pasaran Malaysia, Tucson ditawarkan dalam versi jarak roda panjang seperti model di Amerika Syarikat. Ia berukuran 4,630 mm panjang dan 1,865 mm lebar, menjadikannya 61 mm lebih pendek dan 1 mm lebih sempit daripada Honda CR-V. Namun begitu, jarak rodanya sepanjang 2,755 mm adalah 54 mm lebih panjang daripada model CR-V, memberikan ruang kabin yang lebih selesa. Ruang but pula berkapasiti 582 liter dan boleh ditingkatkan sehingga 1,903 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Bahagian dalaman Tucson menerima perubahan lebih ketara berbanding luaran. Reka bentuk papan pemuka kini tampil lebih moden dengan susun atur skrin berkembar secara mendatar, menggantikan rekaan ‘waterfall’ sebelum ini. Jalur corong pendingin hawa merentang sepenuhnya di hadapan, memberikan rasa lebih luas dan kemas.

Stereng tiga cabang baru yang digunakan tidak lagi menampilkan logo Hyundai, mirip kepada reka bentuk yang digunakan dalam barisan model elektrik Ioniq. Selain itu, suis pemilih gear yang sebelum ini terletak di konsol tengah kini digantikan dengan tuil gear di tiang stereng, membolehkan ruang penyimpanan tambahan pada konsol tengah.

Semua varian Tucson dilengkapi dengan sistem penyaman udara automatik dua zon bersaiz 6.6 inci, pintu but berkuasa, dua paparan digital 12.3 inci (satu untuk kluster instrumen dan satu lagi untuk sistem infotainmen skrin melengkung HD), serta pengecas telefon tanpa wayar.

Varian Style merupakan satu-satunya model yang menggunakan tempat duduk fabrik, manakala varian lain hadir dengan balutan kulit. Varian Prestige turut dilengkapi dengan pedal penukar gear di stereng untuk pengalaman pemanduan yang lebih sporty.

Dari segi keselamatan, kesemua varian dilengkapi dengan enam beg udara. Walaubagaimanapun, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) hanya ditawarkan pada varian Prime dan Prestige. Rujuk kepada senarai spesifikasi di atas untuk mengetahui apa lagi yang ditawarkan pada Tucson baru ini.

Hyundai Tucson 1.6T AWD Prestige

Hyundai Tucson Prime 2025

Hyundai Tucson 1.6T Hybrid Prestige HEV 2025

Gambar rasmi Hyundai Tucson facelift

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required