Hap Seng Trucks Distribution (HSTD) selaku pengedar bertauliah bagi van Mercedes-Benz di Malaysia telah pun melancarkan MPV elektrik EQV 300 2025 untuk pasaran tempatan. Ini merupakan pengenalan pertama secara rasmi bagi model berkenaan untuk pasaran Malaysia yang ditawarkan dengan kemasan Avantgarde Line dengan harga atas jalan RM450,350 tanpa insurans.
EQV 300 2025 ini diilhamkan dengan mobiliti serba moden, rekaan yang penuh bergaya, ketersepaduan digital pintar dan prestasi elektrik generasi terkini. Rekaan luaran Avantgarde Line ini diterjemahkan menerusi lampu utama Multibeam LED, lampu belakang LED, kemasan krom dengan perkataan Mercedes-Benz di belakang, dilengkapi roda aloi lima-jejari 17-inci baharu yang dibaluti tayar 245/55 R17 dan bumbung panoramik gelangsar.
Untuk bahagian kabin, EQV 300 2025 ini diberikan ciri kelengkapan serba mewah termasuk dwi skrin 12.3-inci yang dioperasikaan oleh sistem multimedia MBUX, corong udara yang direka semula, kawalan suhu automatik THREMOTRONIC, kawalan suhu semi-automatik TEMPMATIC untuk bahagian belakang dengan ENERGIZING Comfort, kawalan suara LINGUATRONIC dengan sokongan Apple CarPlay® dan Android Auto®, sistem bunyi sekeliling Burmester® dengan 15-pembesar suara, pencahayaan ambien dengan 64-warna dan 10-warna untuk tema, roda stereng pelbagai-fungsi, pengecas tanpa wayar Mobile dan soket 12V.
MPV elektrik yang berukuran 5,140 mm panjang, 1,918 mm lebar, 1,923 mm tinggi dengan jarak roda 3,200 mm, diberikan kapasiti tujuh-tempat duduk (kofigurasi 2-2-3), dengan tempat duduk larasan kuasa balutan kulit Lugano untuk pemandu serta penumpang hadapan. Ia juga ditampilkan dengan pintu gelangsar elektrik untuk bahagian kiri dan kanan, serta tailgate larasan kuasa.
Bagi mekanikalnya, EQV 300 2025 dipadankan dengan motor elektrik yang dipasang hadapan dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 365 Nm dengan kelajuan maksimum mampu cecah 160 km/j. Ia juga diberikan bateri lithium-ion 90-kWh yang mampu memberikan jarak gerak 374 km mengikut WLTP (atau 418 km NEDC).
Status pengecasan antara 10-80% dalam 40 minit dengan pengecas DC 110 kW dan 10 jam jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW. Selain itu, terdapat empat mod pemanduan diberikan iaitu Comfort, Sport, Eco, dan Maximum Range (ECO+).
Untuk aspek keselamatan, ia masih sama dengan kebanyakan model Mercedes-Benz yang lain, termasuklah enam beg udara, Bantuan Brek Aktif, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Titik Buta, Bantuan Jarak Aktif DISTRONIC, pemantauan tekanan tayar, Kamera 360-darjah, Bantuan Perhatian, Bantuan Parkir Aktif dan Bantuan Mendaki Bukit.
Sekali lagi, EQV 300 2025 ditawarkan dengan harga atas jalan RM450,350 tanpa insurans. Sebagai meraikan kedatangnya ke Malaysia, HSTD menawarkan pakej pengenalan eksklusif untuk para pelanggannya yang akan diberikan pengecas Mercedes-Benz Wallbox percuma, servis selenggara berkala percuma selama tiga-tahun, rebat tempahan sebanyak RM10,000.
Setiap pembelian EQV 300 juga diberikan waranti kenderaan dua-tahun (atau 200,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu), dan waranti bateri voltan-tinggi pula meliputi lapan-tahun atau 160,000 km mana yang tiba terlebih dahulu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.