Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

Divisi EV untuk Proton iaitu Pro-Net hari ini memperkenalkan versi kemaskini untuk SUV EV eMas 7 hanya selepas sekitar 7 bulan dilancarkan dan lebih 4,000 unit telah dihantar kepada pelanggan. Menurut Proton, kemaskini terbaharu ini dibuat berdasarkan maklumbalas yang diterima dari pelanggan sedia ada.

Model kemaskini ini ditawarkan dengan warna badan baharu iaitu Obsidien Black seperti yang sudah ditawarkan pada pasaran Nepal. Manakala untuk warna badan Quartz Rose dan juga Turquoise Green untuk varian Premium, ia kini ditawarkan dengan bahagian dalaman dengan warna Alabaster White. Walau bagaimanapun untuk kabin dengan warna putih ini, ia hanya ditawarkan sebanyak 250 unit untuk setiap warna badan.

Bukan itu sahaja, eMas 7 2025 ini turut menampilkan beberapa kemaskini yang perisian termasuk untuk skrin pemain utama dan juga kemaskini Flyme Auto. Untuk kemaskini skrin pemain utama, ia kini datang dengan tiga aplikasi pihak ketiga tambahan iaitu izi Travel, Vivaldi Browser dan juga Zoom for Car.

Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

Manakala untuk Flyme Auto, kemaskini utama yang ditonjolkan adalah ia sudah boleh menyokong aplikasi Apple CarPlay sama ada menggunakan wayar atau tanpa wayar. Menurut Proton, untuk aplikasi Android Auto ia kini sedang diusahakan dan dijangka akan diperkenalkan pada suku keempat 2025.

Satu lagi kemaskini penting untuk Flyme Auto adalah fungsi Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki (Low-Speed Pedestrian Warning), di mana bunyi ‘lagu lori aiskrim‘ sedia ada sudah boleh dimatikan, atau diganti dengan dua pilihan bunyi baharu iaitu Space Walk atau Galactic Note.

Untuk pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada, fungsi-fungsi ini turut boleh dikemaskini menerusi OTA yang boleh dibuat pada 21 Julai 2025. Model kemaskini ini juga didatangkan standard dengan penutup ruang kargo belakang (tonneau cover), dan berita baik untuk pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada, aksesori yang berharga RM300 ini turut akan diberikan percuma kepada anda dalam masa terdekat.

Proton eMas 7 2025 – OTA Apple CarPlay, tutup bunyi ‘lori aiskrim’, dalaman putih, warna badan hitam

Dengan semua kemaskini ini, Proton eMas 7 masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran yang sama iaitu RM105,800 untuk varian Prime, dan RM119,800 untuk varian Premium. Pro-Net turut menawarkan pakej jualan Power Pack+ yang merangkumi pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, adaptor V2L percuma bernilai RM500, data internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800, waranti tanpa had perbatuan selama 6 tahun untuk kenderaan, serta waranti 8 tahun/160,000 km untuk bateri voltan tinggi serta rebat tukar-beli bernilai RM5,000.

Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri LFP 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).

Varian Prime mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat manakala varian Premium sedikit lebih lambat dengan catatan 7.1 saat. Namun kedua-duanya boleh mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Kedua-duanya juga menyokong pengecas AC dengan kadar maksima 11 kW.

Tetapi untuk pengecas pantas DC, varian Prime boleh menerima sehingga 80 kW dan Prime pula sehingga 100 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 20 minit. Jika menggunakan pengecas AC wallbox di rumah, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

Untuk spesifikasi, varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.

Dalam majlis pelancaran model kemaskini ini, Pro-Net (yang juga pengedar EV jenama smart) turut mengumumkan bahawa ia telah memasang lebih 1,700 pengecas EV di Malaysia, atau mewakili 85% pengecas yang ada dalam negara. Jaringan pengecas ini boleh diakses menerusi sistem infotainmen eMas 7 dan model-model smart yang telah dilancarkan, dan anda bukan sahaja boleh menuju ke stesen pengecas berkenaan menggunakan navigasi bina-dalam, malah informasi seperti ketersediaan stesen serta harga untuk mengecas turut dipaparkan.

GALERI: Proton eMas 7 2025 dengan warna badan Obsidien Black

GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025 dengan warna dalaman Alabaster White

GALERI: Slaid pelancaran Proton eMas 7 2025

GALERI: Gambar rasmi Proton eMas 7 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required