Ketika pengenalan warna luaran dan dalaman baru bagi Proton eMas 7 semalam, Proton memaklumkan bahawa model eMas 5 akan dilancarkan tahun ini, dan akan bersaing dengan EV pertama Perodua, QV-E yang juga sedang dipersiapkan untuk pelancarannya, tahun ini. Menurut CEO Pro-Net, Zhang Qiang, kereta berkenaan akan lebih kecil, namun tetap menawarkan ruang, keselesaan serta ciri pintar yang setanding.
Ini memang sudah diketahui, kerana Proton pernah mempamerkan eMas 5 dalam pelekat samaran di Malaysia Autoshow pada Mei lalu. Model kembar kepada Geely Xingyuan/Star Wish, rekaan hatchback-nya bersaing dengan model seperti BYD Dolphin.
Juga sudah diketahui bahawa eMas 5 akan menjadi lebih mampu milik berbanding eMas 7. Memandangkan eMas 7 dijual sekitar RM100,000 untuk unit CBU-nya sebelum ini, dan kilang EV Tanjong Malim Proton akan siap hujung tahun ini untuk memasang eMas 7 terlebih dahulu, eMas 5 CBU akan bergantung kepada harga yang diluluskan oleh kerajaan.
Seperti dilaporkan sebelum ini, eMas 5 dijangka akan berkongsi mekanikal yang sama dengan Star Wish, termasuklah motor elektrik yang menjana 79 PS/130 Nm atau 116 PS/150 Nm yang terletak di belakang, serta masing-masing dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 30.12 kWh (yang memberikan jarak 310 km CLTC) dan 40.16 kWh (dengan jarak 410 km). Proton mungkin akan menawarkan kapasiti yang lebih besar, mungkin dari eMas 7, untuk memberikan jarak yang lebih jauh yang sesuai dengan penggunaan di Malaysia.
eMas 7 dan 5 akan jadi permulaan kepada penawaran model elektrikfikasi oleh Proton, yang bakal memperkenalkan tiga model baru dalam beberapa tahun ini. Bagaimanapun, tiada sebarang perincian yang didedahkan, namun kita tahu syarikat itu telah mempatenkan nama eMas PHEV. Ini bermakna Proton juga akan memperkenalkan Galaxy Starship 7 di sini.
Model tersebut berkongsi struktur binaan serta bahagian dalaman yang sama dengan eMas 7, tetapi ditambah dengan sistem janaan kuasa plug-in hybrid EM-i Geely. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter NA empat-silinder dengan janaan 111 PS/136 Nm dan sebuah motor elektrik 218 PS/262 Nm yang disepadukan ke dalam transmisi hibrid khusus (E-DHT).
Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 7.5 saat, dan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Aegis short blade berkapasiti paling besar 19.09 kWh, ia akan memberi jarak elektrik 120 km CLTC. Jarak gabungan keseluruhan yang boleh dicapai ialah 1,420 km.
Satu lagi model yang berpotensi diperkenalkan di Malaysia ialah Galaxy A7, sebuah sedan segmen D yang “mampu milik”. Kereta ini menggunakan sistem EM-i AI Hybrid yang dipertingkat yang memberikan kecekapan thernal enjin sebanyak 47.26%, serta sistem tenaga dikuasakan AI untuk kadar penggunaan minyak serendah 2.67 liter per 100 km, jarak elektrik sejauh 150 km dan jarak gabungan keseluruhan 2,100 km. Geely menggelar kereta ini sebagai model global, yang menguatkan lagi kemungkinan untuk ia tiba di sini.
Model ketiga pula masih samar-samar, dan perlu menunggu lagi untuk ia terungkai. Model Geely Galaxy mana yang ada kemungkinan itu? Mungkin saja, eMas 5 lah yang dimaksudkan sebagai model ketiga itu, yang bakal dilancarkan tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.