Bagi pemandu warga negara Singapura yang memandu kenderaan memasuki Malaysia, jangan lupa untuk mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), jika tidak, anda akan disaman sebanyak RM300 serta merta dan tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara ini selagi saman tidak dibayar dan VEP diaktifkan.
Sejak melaksanakan penguatkuasaan penuh bermula 1 Julai lalu, dalam lima hari pertama pelaksanaannya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengeluarkan sebanyak 190 saman yang berjumlah RM57,000 bagi kesalahan berkaitan VEP, laporan Bernama.
“Setakat ini, penguatkuasaan VEP di pusat pemeriksaan darat berjalan lancar. Sebanyak 1,767 kenderaan telah diperiksa dan 94 kenderaan telah diberikan notis amaran,” kata Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.
Tujuan sistem VEP adalah untuk pengurusan aliran trafik rentas sempadan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang pengangkutan jalan raya yang melibatkan kenderaan asing. Singapura juga mempunyai sistem VEP yang dikenakan kepada semua kenderaan bukan dari Singapura.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.