Geely EX5 dapat jaminan bateri sepanjang hayat di Indonesia – kembar Proton eMas 7 harga dari RM124k

Geely EX5 dapat jaminan bateri sepanjang hayat di Indonesia – kembar Proton eMas 7 harga dari RM124k

Geely Auto Indonesia mengadakan promosi baru untuk model kenderaan elektrik (EV) mereka, EX5. Berbeza dengan strategi potongan harga di Thailand, promosi di Indonesia untuk kembar Proton eMas 7 ini hadir dalam bentuk pakej “EXceptional Value Deals” yang antaranya memberikan jaminan bateri seumur hidup.

Walaubagaimanapun, jaminan seumur hidup ini disertakan dengan beberapa syarat termasuk had perbatuan tahunan ditetapkan pada 30,000 km (sekitar 2,500 km sebulan). Ini dianggap munasabah memandangkan EV jarang digunakan untuk perjalanan jarak jauh. Penukaran bateri hanya akan dilakukan sekiranya tahap kesihatan (state of health) bateri jatuh di bawah 70%.

Perlu diketahui, jaminan ini hanya sah untuk pemilik pertama kenderaan sahaja dan tidak boleh dipindah milik. Oleh itu, ia tidak memberi nilai tambah dari segi jualan semula sebagai kereta terpakai. Selain bateri, Geely EX5 turut dilindungi dengan jaminan selama lapan tahun atau 180,000 km untuk motor elektrik dan sistem kawalan motornya. Pelanggan juga mendapat sokongan bantuan kecemasan tepi jalan secara percuma selama lima tahun.

Melalui pakej promosi ini juga, pelanggan akan diberikan pengecas mudah alih percuma, pilihan antara pengecas dinding 7 kW atau set aksesori OEM, tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan perehat kaki boleh laras, serta pilihan warna eksklusif untuk varian Max. Tambahan lain termasuk kadar faedah 0% selama setahun (atau subsidi pemasangan pengecas di rumah) dan data internet percuma sebanyak 2GB setiap bulan selama dua tahun.

Geely EX5 dilancarkan di Indonesia pada Januari lalu dan ditawarkan dalam dua varian – Pro pada harga 475 juta Rupiah (RM123,952) dan Max pada 515 juta Rupiah (RM134,390). Kedua-duanya dilengkapi motor elektrik hadapan berkuasa 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, bersama bateri LFP berkapasiti 60.22 kWh. Jarak pemanduan mengikut standard NEDC ialah 495 km untuk varian Pro dan 490 km untuk varian Max.

Pengeluaran percubaan bagi model ini telah bermula sejak Mei lalu di kilang PT Handal Indonesia Motor di Purwakarta, sementara pengeluaran besar-besaran dijangka bermula pada suku keempat tahun 2025. Geely turut merancang untuk melancarkan antara lima hingga tujuh model baru di Indonesia dalam tempoh tiga tahun akan datang, merangkumi EV penuh, plug-in hybrid dan model enjin pembakaran dalaman (ICE).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required