Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggilan balik (product recall) bagi beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima yang membabitkan jenama Mercedes Benz, Kia, dan Yamaha yang melibatkan sejumlah 8,322 unit kenderaan.
Menurut JPJ, aktiviti panggilan balik ini adalah penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan oleh kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem pada kenderaan tersebut.
Mercedes-Benz
Kotak prefuse mungkin tidak diolah semula dengan betul. Kesemua model yang terlibat adalah keluaran tahun 2023-2025.
- Mercedes-Benz S580 e – 9 unit
- Mercedes-Benz GLC 300 4Matic – 2 unit
- Mercedes-Benz EQS 500 – 4 unit
- Mercedes-Benz AMG SL 43 – 1 unit
- Mercedes-Benz S 580 e – 1 unit
- Mercedes-Benz EQE 53 – 9 unit
- Mercedes AMG EQS 53 – 6 unit
Kia
Kenderaan yang terlibat berkemungkinan mengalami litar pintas elektrik dan boleh menyebabkan kebakaran pada circuit board Hydraulic Electronic Control Unit (HECU)
- Kia Rio UB (keluaran 2010-2017) – 5,123 unit
Yamaha
Throttle Position Sensor (TPS) tidak berfungsi dengan baik. Kedua-dua model motosikal terlibat adalah keluaran November 2021-Februari 2025.
- Yamaha MT09 – 1,649 unit
- Yamaha Tracer 9 GT – 1,369 unit
- Yamaha Tenere 700 (keluaran 2023-2024) – 149 unit
Operasi klac tidak lancar dan sukar untuk menukar gear.
“Setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing. Oleh yang demikian, semua pemilik kenderaan model yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.
“Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh hubungi atau kunjungi mana-mana pusat jualan/ perkhidmatan masing-masing yang berdekatan.
Dalam masa yang sama, JPJ juga akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.