MG Motor Malaysia secara rasmi melancarkan varian baru bagi model roadster elektriknya – MG Cyberster RWD, yang kini menyertai Cyberster AWD yang dilancarkan pada Disember 2024 lalu. Seperti namanya, Cyberster RWD menggunakan satu motor elektrik yang memacu roda belakang, berbeza dengan Cyberster AWD yang dilengkapi dua motor untuk pacuan semua roda.
Cyberster RWD menghasilkan kuasa 340 PS dan 475 Nm tork, iaitu 204 PS dan 250 Nm lebih rendah berbanding versi AWD. Walaupun begitu, pecutan 0-100 km/j masih boleh dibuat dalam masa lima saat, hanya 1.8 saat lebih perlahan daripada AWD.
Menariknya, kedua-dua varian berkongsi pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) 77 kWj yang sama, namun kerana kuasa RWD lebih rendah, jarak pemanduannya lebih jauh iaitu sehingga 508 km berbanding 444 km untuk AWD – satu kelebihan yang ketara.
Sistem pengecasan kekal sama bagi kedua-dua varian, iaitu pengecasan pantas DC hingga 150 kW – 10% ke 80% dalam 38 minit, sementara AC boleh digunakan sehingga 7 kW. Untuk luaran, Cyberster RWD menggunakan rim aloi 19 inci (berbanding 20 inci pada AWD) dengan tayar 245/45 di hadapan dan 275/40 di belakang. Angkup brek Brembo berwarna merah turut dikekalkan.
Selain penggerak dan saiz roda, Cyberster RWD menawarkan spesifikasi kelengkapan yang sama dengan versi AWD. Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow atau English White.
Gabungan warna kabin adalah bergantung kepada warna luaran – hitam-merah untuk varian merah dan kelabu, manakala kelabu cerah untuk varian kuning dan putih. Lapik bumbung lembut berwarna merah juga ditawarkan sebagai pilihan tambahan berharga RM2,000 untuk model Camden Grey dan English White.
Harga rasmi untuk MG Cyberster RWD ialah RM300,748 (tanpa insurans), iaitu RM20,000 lebih murah daripada versi AWD. Setiap pembelian turut disertakan dengan jaminan kenderaan tujuh tahun/150,000 km, jaminan bateri lapan tahun/180,000 km, jaminan motor dan unit kawalan motor lapan tahun/160,000 km, pengecas wallbox 7 kW percuma dan pengecasan tanpa had selama 1 tahun melalui JomCharge.
MG Cyberster boleh dilihat secara langsung di 1 Utama (Old Wing) dari 9 hingga 13 Julai. Buat masa ini, ia masih satu-satunya roadster elektrik di pasaran Malaysia, dan boleh dikatakan sebagai antara model EV paling bergaya dalam julat harga RM300k.
GALERI: MG Cyberster AWD
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.