Portal automotif Jepun, BestCar melaporkan bahawa Toyota kini sedang membangunkan sebuah kereta sport baharu yang dikenali dengan kod dalaman 710D, dipercayai merupakan Toyota Celica generasi baharu dan akan diproduksi serta dijual sebagai Toyota GR Celica.
BestCar menyatakan berdasarkan maklumat yang diterima, kereta sport ini akan menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder yang akan diletakkan pada bahagian tengah badan, serta digandingkan dengan sistem pacuan semua roda. Unit rangkaian kuasa berkenaan kini sedang diuji disebalik jentera prototaip yang dikenali sebagai Toyota Yaris M-Concept yang didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu.
Enjin G20E 2.0 liter empat silinder turbo berkenaan dilaporkan mampu untuk menghasilkan kuasa sehingga sekitar 400 PS dan tork maksima 550 Nm. Yaris M-Concept ini juga merupakan prototaip yang berfungsi dan bakal berlumba dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun sebagai salah satu cara untuk menguji dan menala unit rangkaian kuasa berkenaan.
Laporan ini turut menyebut bahawa bahagian belakang kereta sport ini akan menggunakan rekaan ‘double deck’, di mana ia akan menampilkan dua penutup dan ruang berbeza untuk mengasingkan ruang enjin dan juga ruang but belakang. Rekaan ini adalah seiras dengan rekaan dua generasi kereta sport enjin tengah Toyota MR2 terdahulu, yang bukan sahaja lebih praktikal, malah ia memberikan rekaan kerangka badan yang lebih tegap.
Bagi mengurangkan berat kereta sport ini, ia juga dikatakan bakal menampilkan penutup but hadapan dan belakang serta bumbung yang diperbuat dari gentian karbon, seperti pada GR Yaris dan GR Corolla.
Satu lagi aspek yang diambil berat oleh Toyota untuk kereta sport baharu ini adalah rekaan tiang-A, di mana ia akan diletakkan lebih kebelakang memerlukan cermin hadapan direka lebih melengkung pada hujung kedua-dua sisi. Rekaan ini dibuat bagi memberikan pandangan hadapan yang lebih baik dan luas, serta mengelakkan bahagian ‘titik buta’ yang selalunya terjadi pada bahagian tiang-A yang tebal.
Menurut laporan ini lagi, kereta sport ini akan didedahkan di Tokyo Auto Salon 2027, kemudian versi produksi akhir akan dilancarkan ke pasaran ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2028. Seperti barisan model-model GR terkini di Jepun, ia akan ditawarkan dalam varian tertinggi RZ, dan juga varian ‘kosong’ RC bagi memudahkan ia diubah menjadi kereta lumba.
Dan, kereta sport 710D ini dikhabarkan hanya akan ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, tanpa pilihan kotak gear automatik lapan-kelajuan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission (GR-DAT) seperti pada GR Yaris dan GR Corolla.
Namun BestCar masih tidak faham apa yang dimaksudkan dan boleh dibayangkan dengan kod ‘710D’ berkenaan, tidak seperti kod nama ‘086A’ yang diberikan pada projek pembangunan Toyota 86 ZN6 terdahulu yang jelas membayangkan ia adalah model pengganti Toyota Corolla AE86.
Walau bagaimanapun bagi penulis sendiri, kod 710D berkenaan terus memberikan bayangan kereta rali Group S yang dibina secara rahsia oleh Toyota pada era 80’an dikenali dengan kod 222D. Kereta rali berkenaan dibina berasaskan Toyota MR2 generasi pertama AW11, tetapi enjin 1.6 liter NA 4A-GE asal digantikan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo, serta digandingkan dengan sistem pacuan semua roda – sama seperti asas unit rangkaian kuasa bagi projek 710D ini.
Pada sebelah luar, kereta rali 222D berkenaan kelihatan seperti MR2 yang telah berubah menjadi Frankenstein, dengan badan yang lebih lebar serta lampu pop-up hadapan diubah menjadi lampu bulat tetapi masih diletakkan dalam perumah yang aerodinamik.
Projek yang dibangunkan oleh Toyota Team Europe (TTE) yang mengendalikan pasukan rali dunia Toyota ketika itu dihentikan selepas FIA mengubah rancangan untuk menggantikan undang-undang Group B kepada Group S untuk kelas tertinggi Kejohanan rali Dunia (WRC), dan beralih kepada undang-undang Group yang lebih ‘jinak’ pada 1987.
Keputusan itu dibuat oleh FIA selepas berlakunya beberapa kemalangan yang membabitkan kematian penonton serta pelumba WRC kerana kereta Group B yang terlalu berkuasa. Kereta-kereta Group S pada asalnya dirancang sebagai pengganti Group B yang dihadkan kuasa hanya pada 300 PS, namun ia dilihat masih lagi terlalu merbahaya berbanding Group A yang lebih dekat dengan spesifikasi kereta produksi yang dijual di bilik pameran.
Jadi persoalannya, adakah 710D ini pengganti Celica atau MR2, sama-sama kita tunggu lagi dua hingga tiga tahun untuk Toyota menyudahkan projek ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.