Barisan model siri 400 daripada Triumph kini menerima ahli baru apabila pengeluar dari United Kingdom itu memperkenalkan Scrambler 400 XC. Kemampuan offroad ringan sedia ada pada Scrambler 400 dipertingkat lagi pada model ini, dengan diberikan beberapa perubahan kelengkapan.
Paling utama adalah di bahagian roda, di mana Scrambler 400 XC ini datang dengan rim aluminium spoked tanpa tiub jenama Excel 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut masing-masing tayar Metzeler Karoo Street 100/90 dan 140/80.
Untuk menjadikan penampilannya lebih bersesuaian dengan imej lasak yang dibawa, Scrambler 400 XC dipasang dengan penghadang lumpur hadapan yang tinggi, bersama penghadang angin atas lampu, pelindung tangan serta pelindung bawah enjin secara standard.
Dengan semua perubahan ini, Scrambler 400 XC mencatat berat 190 kg, menjadikan ia sedikit lebih berat berbanding Scrambler 400 (179 kg). Tangki bahan api dan tinggi tempat duduk masih sama iaitu masing-masing 13 liter dan 835 mm.
Bahagian asas lain juga tidak mempunyai beza, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 398 cc berkuasa 40 PS dan tork 37.5 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.
Suspensi pula terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan, dan monoshock RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, masing-masing memberikan jarak gerak sama iaitu 150 mm (juga masih sama dengan Scrambler 400).
Tugas menghentikan motosikal dijalankan brek cakera tunggal 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan 230 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS dual-channel dengan mod offroad diberikan secara standard, bersama kawalan cengkaman yang boleh ditutup.
Bahagian meter menggunakan unit padanan analog dan digital, sementara kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk soket pengecas USB-C serta immobiliser pencegah kecurian. Tiga warna ditawarkan untuk Scrambler 400 XC ini iaitu Racing Yellow, Storm Grey dan Vanilla White.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.