Kementerian Pengangkutan (MoT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah 10,000 slot baharu untuk program MyLesen B2, yang menawarkan lesen motosikal B2 secara percuma. Kos bagi setiap lesen ialah RM350, dan kerajaan telah memperuntukkan tambahan kos sebanyak RM3.5 juta untuk program tersebut pada tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata seramai 14,581 peserta atau 97% daripada kuota asal sebanyak 15,000 telah digunakan oleh golongan belia dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025. “Kita akan tambah 10,000 lagi kuota bermula pertengahan tahun ini di seluruh negara. Kos bagi setiap lesen adalah RM350 dan ditanggung sepenuhnya oleh kementerian,” katanya di Seremban semalam, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, menambah program MyLesen B2 adalah komitmen kerajaan untuk membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah mereka melalui peluang pekerjaan, terutamanya dalam ekonomi gig. Ia juga merupakan usaha untuk melahirkan penunggang motosikal yang berkemahiran dan selamat di jalan raya.
Menteri MoT itu turut menggesa pihak sekolah membantu mengenal pasti pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen, dan menggalakkan mereka untuk menyertai program ini. Beliau juga berharap agar golongan belia yang memperoleh lesen melalui program MyLesen B2 dapat menjadi duta keselamatan jalan raya, menyebarkan mesej kepatuhan kepada peraturan serta menjadi penunggang motosikal yang berhemah dan bertanggungjawab.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.