Ini bukan benda baru, dan sekali lagi ia berlaku dan menjadi tular di laman media sosial. Sekumpulan penunggang motosikal berada di lorong kiri sambil diiringi oleh beberapa “penjaga” yang biasanya digelar sebagai marshal dan dalam video yang dimuat naik oleh pengguna @turtleispenyu dalam Tiktok, kelihatan ada marshal yang berada di laluan tengah seakan menghalang pergerakan kenderaan lain.
Susulan daripada video ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengeluarkan amaran bahawa penggunaan marshal atau pengiring untuk mengawal lalu lintas semasa pergerakan konvoi adalah dilarang sama sekali – lapor Bernama.
Beliau menegaskan bahawa tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas kawalan lalu lintas tanpa kehadiran polis trafik. Jika didakwa dan disabit kesalahan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau hukuman penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
@turtleispenyu Aku pagi2 auto baran tau. Pakai vest ada tulis POLIS/AADK automatic boleh block2 jalan, tahan kete lori atas highway ke?!!
Menurut beliau, setiap pergerakan berkumpulan atau konvoi perlu dimaklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu untuk tujuan penyelarasan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya. Sekiranya sesebuah konvoi motosikal tidak menerima bantuan kawalan keselamatan rasmi daripada pihak polis, mereka wajib mematuhi sepenuhnya segala peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Kejadian terbaru yang tular ini dipercayai berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Nilai, Negeri Sembilan dan pihak polis mengingatkan bahawa tindakan seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.