Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

Mazda secara rasminya telah mendedahkan model generasi ketiga untuk SUV segmen-C Mazda CX-5 yang bakal menggantikan model generasi sedia ada yang sudahpun berada lapan-tahun dalam pasaran. Model generasi baharu ini masih menerima prinsip rekaan ‘kodo-design’ signatur Mazda – walaupun nampak macam hampir sama seperti model sebelum ini, namun ia kini sebenarnya lebih besar untuk memberikan praktikaliti yang lebih baik, berbanding versi sebelumnya yang hanya mementingkan rupa sporty dan prestasi pemanduan semata-mata.

Mazda CX-5 2026 ini menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya. Menurut Mazda jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh (namun tidak memperincikan angkanya), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.

Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.

Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.

Untuk pengayaan luaran, Mazda menyatakan rekaan Kodo pada SUV serba baharu ini menerapkan konsep “Wearable Gear”. Lampu hadapan masih direka nipis, namum kali ini ia kelihatan seperti sebahagian dari gril hadapan berwarna hitam yang masih lagi besar. Gril bawah bampar CX-5 baharu ini juga nampak lebih besar dari model sebelum ini.

Secara asasnya identiti bayangan sisi badan CX-5 ini masih dikekalkan, namun untuk menghasilkan pintu belakang dan dan pintu tailgate yang lebih praktikal tadi menyebabkan garis bumbung belakang nampak lebih tinggi dan kurang landai. Ruang roda model baharu ini juga nampak lebih ‘petak’ berbanding model lama yang lebih bulat.

Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

Di belakang pengayaan lampu diubah terus dengan rekaan kluster berbentuk-L yang lebih nipis dan panjang seperti dari barisan SUV lebih besar Mazda CX-60 dan CX-80. Tiada logo ‘M’, tetapi menampilkan skrip ‘MAZDA’ baharu yang lebih ringkas dilekat di tengah pintu tailgate. Sepasang tip ekzos bulat masih kelihatan pada kedua-dua sisi bahagian belakang CX-5 baharu ini.

Untuk bahagian dalaman, CX-5 nampaknya cuba merapatkan jurang dengan saingan-saingannya dari China. Tiada lagi suis-suis fizikal untuk kawalan suhu dan penghembus penghawa dingin serta kawalan audio, di mana semuanya telah dipindahkan ke skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka.

Konsol gear juga nampak lebih ringkas dengan hanya menampilkan suis untuk brek parkir elektronik serta fungsi auto hold, dan tiada lagi suis putar serta suis tekan Mazda Commander, serta tiada lagi suis pemilih mod pemanduan. Ia juga mempunyai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang terletak di bawah perehat tangan.

Bagi sistem infotainmen, selain skrin yang dibekalkan kini semakin besar, CX-5 2026 ini juga merupakan model pertama Mazda yang dibekalkan dengan servis Google bina dalam, memberikan fungsi seperti Google Maps, kawalan menggunakan suara AI Gemini, Google Apps Store dan banyak lagi. Sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara juga dibekalkan pada varian terpilih.

Untuk pemandu, maklumat pemanduan diberikan menerusi paparan instrumen digital bersaiz 10.25-inci. Roda stereng juga menerima rekaan baharu, di mana ia turut menampilkan skrip Mazda pada modul beg udara dan tidak menggunakan logo ‘M’.

Pelbagai tema warna dan upholsteri ditawarkan untuk kabin CX-5 ini, termasuk kulit dalam kemasan hitam atau tan, kulit sintetik kemasan hitam dan putih serta material sued. Bergantung pada varian, pembeli turut ditawarkan dengan bumbung kaca panaromik.

Bagi unit rangkaian kuasa, nampaknya masih belum ada teknologi baharu ditampilkan oleh Mazda untuk CX-5 generasi terkini ini. Buat masa sekaran model pasaran Eropah disahkan hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan penggerak iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt.

Namun enjin berkenaan ditala dengan kuasa lebih rendah iaitu 141 PS dan tork maksima 238 Nm berbanding 195 PS sebelum ini pada enjin 2.5 liter yang sama, mungkin untuk membolehkan ia melepasi undang-undang emisi yang semakin ketat di benua berkenaan. Kuasa dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10.5 saat.

Sebelum ini Mazda pernah mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan enjin generasi baharu dikenali sebagai SkyActiv-Z yang lebih efisien, didakwa mampu beroperasi dengan campuran bahan api dan udara pada tahap 1 lambda hampir pada setiap tahap rpm, namun ia hanya akan muncul pada akhir 2027.

Manakala untuk casis, CX-5 generasi baharu ini menampilkan teknologi brake-by-wire. Ia juga masih ditawarkan sama ada dalam versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda, dan kini ia didakwa mempunyai kemampuan menunda sehingga 2,000 kg.

Mazda CX-5 generasi ketiga ini akan mula dijual di Eropah bermula akhir tahun ini – di Jerman, ia dijual pada harga bermula €34,500 (RM172,000). Selepas itu ia turut akan masuk ke pasaran-pasaran lain bermula pada 2027.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required