Sekali lagi, model Proton Saga MC3 2025 dilihat sedang diuji, kali ini di Putrajaya. Tetapi, ada kelainan yang dapat dilihat: ada sesuatu yang dipasang di bahagian bumbung, dan kami jangkakan itu adalah sensor LiDAR untuk tujuan kalibrasi sistem bantuan pemanduan canggih (ADAS).
Ya, model Saga akan datang ini akan dilengkapi dengan ADAS, walaupun mungkin itu hanya akan ditawarkan untuk varian paling tinggi, sama seperti X50 facelift dan S70 sedan. Lebih menarik, ini adalah kali pertama Proton melakukan kalibrasi ADAS sendiri, kerana model sebelum ini semuanya merupakan model dari Geely dengan teknologi dan perisian sedia ada.
Bulan lalu, Proton mengesahkan bahawa Saga baru ini akan dilengkapi ADAS. Ia terselit dalam satu hebahan media bersama vendornya, dengan menyebut barisan produk akan datang dan yang dilancarkan bermula tahun ini, termasuk platform AMA terbaru untuk model peringkat kemasukan.
Antara yang menarik adalah kerjasama antara Imotion Automotive Technology dari China dengan vendor jangka panjang Proton, Delloyd Technology, yang akan membolehkan syarikat China itu membantu “mempercepatkan pembangunan dan aplikasi sistem ADAS untuk AMA01.” Saga merupakan model yang berasaskan AMA yang akan dilancarkan tahun ini.
Kita perlu menunggu untuk mengetahui pakej ADAS dengan kelengkapan yang bagaimana akan ditawarkan untuk Saga nanti — mungkin akan sedikit ringkas disebabkan segmen dan harga jualan Saga sebagai model peringkat kemasukan. Apa pun, untuk dilengkapi dengan ciri AEB sahaja pun sudah cukup baik untuk Saga dan meletakkannya setara dengan Perodua Bezza, yang datang dengan pilihan AEB dalam pakej ASA 2.0 yang ditawarkan sejak 2020.
Saga baru ini juga akan menampilkan rekaan luaran yang diperbaharui, berasaskan rekaan Saga semasa yang diilhami sejak model BLM pada 2008 lagi. Daripada gambar yang bocor sebelum ini, Saga dilihat menggunakan lampu utama projektor, gril berkelebaran penuh dengan bahagian “busur” krom serta rekaan bampar baru.
Di dalam, perubahan yang dilakukan lebih banyak: papan pemuka baru, paparan skrin lebar untuk panel instrumen dan infotainmen, corong pendingin bentuk bujur serta suis pendingin rekaan baru. Roda stereng juga baru dengan tiga-jejari dan rata di bahagian bawah yang dipinjam dari X50.
Hasil perkembangan dengan X50, kami menjangkakan Saga baru ini akan menampilkan enjin versi NA bagi unit 1.5 liter i-GT TD turbo empat-silinder yang digunakan X50 terbaru — dan ia memang padan untuk kegunaan Saga, dan tersedia dalam katalog produk semasa Aurobay (bahagian janaan kuasa Geely di Sweden, kini juga sebahagian Horse Powertrain).
Daripada dua unit NA dalam keluarga enjin terbabit, unit BHE15PFI adalah yang paling rendah-kos, dengan suntikan port dan kelihatan sangat sesuai untuk ditawarkan untuk Saga. Janaan unit DOHC VVT-nya ialah 99 PS dan 110 PS pada 6,000 rpm dan antara 125 Nm hingga 135 Nm tork dari 4,000 rpm-5,000 rpm. Saga dengan platform AMA ini akan dilancarkan dalam tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.