Model yang kelihatan seperti Xpeng G6 facelift tahun 2025 ditemui di Glenmarie, satu lokasi yang juga merupakan ibu pejabat Xpeng Malaysia. Gambarnya dimuat naik oleh pengguna Fareez Azhar dalam kumpulan Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion sekaligus memberi bayangan kuat bahawa pelancaran tempatan model facelift ini mungkin akan berlaku tidak lama lagi.
Xpeng G6 yang ada dalam pasaran sekarang dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2024. Maka, tidak mustahil versi baru ini sedang dipersiapkan untuk kemasukan ke pasaran Malaysia. Di China, G6 facelift ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula dari RMB176,800 (RM105,000) hingga RMB198,800 (RM118,000). Dua varian pertama dilengkapi bateri 68.5 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 625 km, manakala varian tertinggi menggunakan bateri 80.8 kWh yang mampu memberikan jarak 725 km.
Ketiga-tiga varian menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 296 PS dan tork 450 Nm yang memacu roda belakang dan menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Jika dibandingkan dengan model sebelum facelift, jarak pemanduan juga berubah seiring dengan kapasiti bateri – sebelum ini 66 kWh dengan jarak 580 km dan 87.5 kWh dengan jarak 755 km.
Perubahan paling ketara pada G6 facelift adalah pada sistem pengecasannya. Model ini masih menggunakan struktur 800 volt, namun kadar pengecasan dipertingkat daripada 3C ke 5C. Secara teori, ini membolehkan pengecasan penuh dilakukan dalam masa hanya sekitar 12 minit dari 10% ke 80%. Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada versi pacuan semua roda (AWD) akan diperkenalkan di Malaysia atau tidak. Sebagai rujukan, model AWD sebelum ini hadir dengan kuasa 487 PS, tork 660 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, tetapi masih belum masuk ke Malaysia.
Dari aspek reka bentuk, logo Xpeng kini dipindahkan ke bahagian bonet, membolehkan jalur lampu depan penuh disambungkan merentasi bahagian hadapan. Reka bentuk rim aloi juga diperbaharui, bersama spoiler belakang gaya ‘ducktail’ dan perincian hitam seperti kit badan serta angkup brek.
Dimensi kereta masih mengekalkan lebar 1,920 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak roda 2,890 mm. Panjang keseluruhan bertambah sedikit sebanyak 5 mm kepada 4,758 mm. Di dalam kabin, terdapat skrin sesentuh baru bersaiz 15.6 inci (berbanding 14.9 inci sebelum ini), disertai panel instrumen digital 10.25 inci yang sama. Stereng kini menggunakan kawalan sentuhan kapasitif, lubang pendingin hawa direka semula dan tempat duduk hadapan hadir dengan fungsi urutan.
Tempat duduk belakang kini boleh dilaraskan pada 12 tahap dari sudut 27 hingga 38.4 darjah. Lampu suasana juga dipertingkat dengan efek ‘galaxy rhythm array’ dan ‘four-door diffuse reflection’. Bahan dalaman turut ditambah baik dengan kemasan baldu di siling, panel pintu berlapis kulit, trim papan pemuka bercorak kayu dan permukaan lembut di kawasan pengecas tanpa wayar.
Sama seperti facelift yang diberi pada X9, G6 facelift turut menerima sistem pemanduan pintar yang dipacu oleh cip Turing AI yang dibangunkan sendiri oleh Xpeng. Perkakasannya termasuk dua cip Nvidia Drive Orin dengan kuasa pemprosesan keseluruhan sebanyak 508 TOPS.
Segala petunjuk ini memberi isyarat bahawa Xpeng G6 facelift sudah hampir bersedia untuk menembusi pasaran Malaysia. Kita hanya perlu tunggu pengumuman rasmi daripada pihak Xpeng Malaysia dalam masa terdekat.
GALERI: Xpeng G6 facelift di Shanghai
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.