Selepas turun ke tempat kedua pada Mei 2025, Proton eMas7 kini kembali ke tangga teraras bagi EV paling laris di Malaysia bagi bulan Jun 2025. Berdasarkan data terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 604 unite eMas 7 telah didaftarkan bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan tahunan setakat ini (year-to-date, YTD) kepada 4,003 unit.
Tesla Model Y yang merampas kedudukan teratas itu pada Mei 2025 beralih ke tempat ketiga dengan 460 unit (1,571 YTD), membolehkan BYD Atto 3 naik ke tempat kedua dengan 471 unit (1,701 YTD). Selain tempat tiga teratas, BYD Sealion 7 kini menduduki tangga ke empat dengan 320 unit (1,960 YTD), sementara tempat kelima dihuni oleh Chery Omoda E5, yang menyaksikan jumlah pendaftaran tertingginya tahun ini dengan 186 unit (394 YTD), yang disumbangkan oleh tawaran rebat yang banyak.
Di bawahnya ialah Tesla Model 3 dengan 127 unit di tempat ke-enam, diikuti rapat oleh BYD Seal di tempat ketujug dengan 125 unit. Jika berdasarkan angka YTD, pertembungan ini dimenangi oleh Model 3 dengan 825 unit pendaftaran setakat 30 Jun, berbanding Seal dengan hanya 679 unit.
MPV elektrik pula naik dari tangga ke-11 ke tangga kelapan: BYD M6 mencatatkan pendaftaran sebanyak 114 unit bulan lalu (977 YTD). Denza D9 (jenama premium BYD) mengikut rapat di belakang dengan 91 unit (615 YTD), sementara Xpeng X9 di tempat ke-10 dengan 85 unit (242 YTD). Di tempat ke-11, Zeekr 009 dengan 55 unit (457 YTD).
Dengan 47 pendaftaran bulan lalu, Xpeng G6 (395 YTD) berjaya naik satu anak tangga ke tempat ke-12. Porsche Taycan di tempat ke-13 dengan 44 unit (205 YTD), dengan angka yang termasuk model recon yang diambil kira oleh JPJ.
Di tangga ke-14 ialah BMW iX2 dengan 43 unit (277 YTD), sementara MINI Aceman tampil dengan jualan terbaiknya setakat ini dengan 42 unit di tangga ke-15. Volvo EX30 pula di tangga ke-16 dengan 41 unit (138 YTD), diikuti oleh Porsche Macan Electric di tempat ke-17 dengan 39 unit (154 YTD).
Tiga tempat ke bawah pula diisi oleh BMW iX1 di tangga ke-18 dengan 33 unit (167 YTD), BMW i5 di kedudukan ke-19 dengan 28 unit (251 YTD) dan GWM Ora (Good Cat dan 07 disekalikan oleh JPJ) ke-20 dengan 27 unit (200 YTD).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.