Cycle & Carriage (C&C) hari ini mengumumkan bahawa ia secara rasmi telah membuka sebuah pusat servis untuk jenama Peugeot di Batu Caves dengan kerjasama Stellantis Malaysia. Pusat servis dengan keluasan 8,005 kaki persegi tersebut menampilkan lima ruang servis dan pembaikan, serta ruang menunggu untuk pelanggan yang disediakan dengan minuman serta Wifi.
Selain itu pusat servis ini juga mempunyai lima ruang untuk kerja-kerja pembaikan badan dan cat. Menurut C&C, fasiliti ini menerima kelengkapan bagi memberikan servis terbaik untuk “semua kenderaan di bawah naungan Stellantis”, dan ia boleh menangani kerja-kerja seperti touch up kecil sehinggalah pembaikkan dan cat seluruh badan.
“Kami teruja untuk mengembangkan Cycle & Carriage Batu Caves menjadi pusat servis khusus yang bukan sahaja akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami yang semakin meningkat tetapi juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan pakar untuk kenderaan jenama Stellantis,” kata CEO Cycle & Carriage, Adrian Short.
“Dengan tumpuan kami pada kecemerlangan perkhidmatan dan penjagaan pelanggan, kami menyasarkan untuk menyampaikan pengalaman perkhidmatan yang tiada tandingan untuk semua pemilik jenama Stellantis bermula dengan Peugeot. Pengembangan ini mengukuhkan komitmen kami untuk menyediakan sokongan menyeluruh merentasi keseluruhan perjalanan pemilikan,” tambahnya.
“Peluasan rangkaian kami mewakili tonggak penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang Stellantis Malaysia, mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang unggul merentasi setiap peringkat pemilikan. Kemudahan baharu ini adalah bukti cita-cita bersama kami untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan selepas jualan dan dedikasi bersama kami untuk menyampaikan pengalaman pemilikan yang lancar — membina kepercayaan yang berterusan, “kata Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN.
Bagi meraikan pembukaan pusat servis baharu ini, semua temu janji servis yang dibuat untuk bulan Julai ini akan menerima hadiah selamat datang, basuh kereta percuma serta pemeriksaan percuma merangkumi pemeriksaan tahap kesihatan bateri, pendingin hawa, dignostik DiagBox, serta 30-point lain.
Pusat servis ini dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu (tutup hari Ahad). Untuk lebih informasi lawati www.cyclecarriage.com.my atau anda boleh berbual dengan Chatbot C&C menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012-6202042.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.