Geely secara rasmi telah melancarkan sedan plug-in hybrid terbarunya, Galaxy A7 di pasaran China. Model ini mengisi ruang antara Galaxy L6 dan Starshine 8, sebagai sedan segmen-D jenama tersebut. Dengan pelancaran ini, spesifikasi penuh dan harga rasmi telah diumumkan.
Galaxy A7 dikuasakan oleh sistem plug-in hybrid generasi terbaru EM-i yang menumpukan kepada kecekapan bahan api. Enjin yang digunakan adalah unit 1.5 liter BHE15PFI dengan teknologi Atkinson-cycle, menghasilkan 111 PS dan tork 136 Nm.
Enjin ini menerima beberapa naik taraf termasuk kebuk pembakaran baru, teknologi pengurangan geseran, pam minyak boleh laras dan sistem pengurusan haba yang dipertingkatkan. Hasilnya, ia mencatat kecekapan termal tertinggi dunia iaitu 47.26%.
Motor elektrik P3 yang dipasang pada transmisi hibrid satu kelajuan model ini menghasilkan 238 PS dan 262 Nm tork, lebih 20 PS berbanding model Starray EM-i. Ia membolehkan Galaxy A7 memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 7.1 saat, dengan kelajuan maksimum 190 km/j.
Satu inovasi utama ialah sistem pengurusan tenaga pintar cloud-based dan kecerdasan buatan (AI), menggunakan pusat pengkomputeran Xingrui 2.0. Dengan keupayaan pemprosesan 23.5E FLOPs, sistem ini dioptimumkan untuk lebih 1,000 senario pemanduan tanpa perlu bergantung kepada peta.
Hasilnya, Galaxy A7 mencatat penggunaan bahan api serendah 2.67 liter per 100 km, menggunakan bateri LFP 8.5 kWh yang memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 70 km.
Varian lebih tinggi dilengkapi bateri 18.4 kWh dari CATL, dengan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km dan jumlah jarak keseluruhan melebihi 2,100 km. Ia turut menyokong pengecasan pantas DC hingga 37 kW (30-80% dalam 18 minit) serta fungsi vehicle-to-load (V2L).
Walaupun dibina dengan pendekatan lebih bajet berbanding Starshine 8, Galaxy A7 masih kelihatan moden dengan panjang 4,918 mm, lebar 1,905 mm dan jarak roda 2,845 mm. Ia menampilkan bar lampu LED penuh di depan dan belakang dengan rekaan “ripple effect”.
Bahagian dalaman menampilkan skrin paparan digital 10.25 inci, skrin infotainmen 15.4 inci serta sistem operasi Flyme Auto. Ciri lain termasuk head-up display 16.6 inci, sistem audio Flyme Audio 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W dan tempat duduk urut “akupunktur” 14 titik untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Untuk keselamatan, A7 dilengkapi enam beg udara dan sistem bantuan pemanduan Geely G-Pilot. Antara ciri bantuan yang diberi termasuk pemanduan separa automatik di lebuh raya dan bandar, brek kecemasan automatik kelajuan rendah, kawalan silap pedal dan bantuan parkir memori – yang akan dikemas kini melalui over-the-air (OTA).
Geely Galaxy A7 dijual pada harga bermula 103,800 yuan (RM61,600), manakala varian dengan bateri lebih besar berharga sehingga 133,800 yuan (RM79,400). Dengan A7 dikategorikan sebagai model “global”, terdapat kemungkinan ia akan diperkenalkan di pasaran Malaysia di bawah jenama Proton eMas, menyertai eMas 7 serta eMas 5 dan eMas 7 PHEV yang bakal dilancarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.