Minyak pelincir merupakan antara aspek yang penting dalam sesebuah enjin. Jangan sesekali anda gunakan minyak enjin palsu untuk berjimat kerana ia akan memusnahkan komponen-komponen utama enjin seperti omboh, blok, aci engkol dan banyak lagi yang tentu melibatkan belanja yang besar untuk diperbaiki.
Baru-baru ini Castrol Malaysia telah memuatnaik satu video di laman Instagram rasminya bagi menunjukkan perbezaan antara minyak enjin asli dan juga yang palsu di mana ia dengan mudah boleh dibeli dalam pasaran.
Menurut Castrol Malaysia, minyak enjin palsu Castrol Magnatec 10W-40 tersebut dibeli secara dalam talian dengan harga hanya RM60 untuk pek 4 liter – jauh lebih murah berbanding produk asli. Sekali tengok, botol dan label minyak enjin palsu berkenaan nampak ‘sebijik’ seperti yang asli. Namun dapat dirasai label-label dan juga penutup nampak dibuat dengan kualiti lebih rendah berbanding yang asli.
Selepas dibuka dan dituang dalam botol lutsinar, di sini lebih banyak perbezaan yang boleh kita kesan. Pertamanya minyak tiruan tersebut menghasilkan satu bau hangit – lazimnya minyak-minyak tiruan ini dihasilkan dari minyak terpakai dan sebab itu ia mempunyai bau hangit tersebut. Kemudian minyak palsu itu juga nampak lebih cair dan berwarna lebih keemasan.
Sementara untuk minyak asli, ia tidak berbau hangit, lebih pekat (menepati tahap kelikatan yang dinyatakan), dan juga berwarna lebih gelap. Untuk mengelakkan dari tertipu, Castrol Malaysia menyarankan pelanggannya agar membeli minyak enjin dari kedai rasmi atas taliannya, atau mendapatkannya dari mana-mana bengkel Castrol yang bertauliah.
Kerajaan juga kini mempunyai inisiatif bagi mengekang penjualan minyak enjin palsu ini dengan mewajibkan produk-produk minyak enjin di Malaysia perlu mendapat kelulusan dari SIRIM. Namun penguatkuasaan yang sepatutnya bermula April lalu tersebut telah pun ditunda sehingga Oktober 2025.
Di bawah undang-undang baharu ini, semua minyak enjin perlu melalui proses pengesahan menerusi SIRIM QAS International, yang bertanggungjawab untuk memberikan pentauliahan dan mengeluarkan label pematuhan pada produk. Menurut Garis Panduan Pensijilan dan Penandaan Minyak Enjin untuk Kenderaan Bermotor yang disiarkan di laman web rasmi SIRIM QAS, produk-produk berkenaan perlu melalui beberapa ujian sebelum menerima pentauliahan.
Setelah memenuhi pematuhan ini, pemohon akan diberikan pensijilan lesen produk tulen atau laporan pengesahan kelompok, yang kemudiannya boleh digunakan sebagai asas untuk menandakan produk dengan pensijilan produk tulen SIRIM. Label pematuhan, yang mesti dilekatkan di bahagian atas penutup bekas minyak enjin, akan memberikan keselamatan tambahan. Ujian berkala akan dijalankan untuk memastikan pematuhan, manakala pesalah akan menerima denda atau penjara apabila sabit kesalahan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.