BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

Awal tahun ini, BYD memperkenalkan sistem bantuan pemanduan canggih yang dikenali sebagai God’s Eye, dan ia kini dilengkapi secara standard untuk semua model jenama di bawah kumpulan BYD termasuk Denza, Fangchengbao dan Yangwang. Kini, sistem tersebut diberikan kemas kini terbaru melalui sambungan tanpa wayar (over-the-air/OTA) yang meningkatkan lagi keupayaan teknologinya.

Menerusi satu perkongsian di laman Weibo, BYD memaklumkan bahawa penambahbaikan utama dalam kemas kini ini ialah sistem bantuan letak kenderaan yang dinaik taraf sepenuhnya. Menariknya, sistem ini sekarang dikatakan setanding dengan autonomous Tahap 4, yang bermaksud pemandu tidak perlu menggunakan tangan, mata atau memberi tumpuan langsung ketika kereta sedang melakukan parkir secara automatik. BYD turut mendakwa ini adalah sistem pertama seumpamanya di dunia.

Sistem parkir pintar ini boleh berhadapan dengan pelbagai jenis ruang parkir – selari, serong dan tegak – termasuk parkir secara mengundur atau masuk ke depan. Ia juga mampu mengesan halangan seperti bumbung rendah atau kenderaan lain yang diletakkan tidak kemas, lalu menyesuaikan posisi parkir agar penumpang masih boleh keluar dan masuk dengan selesa.

BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

Satu lagi ciri baru adalah keupayaan untuk mengesan ruang parkir sempit, di mana cermin sisi akan dilipat secara automatik bagi mengelakkan sebarang geseran. Pemandu turut diberi pilihan untuk memilih antara tiga kelajuan parkir, termasuk mod “kelajuan ekstrem”. Lebih menarik, pengguna juga boleh berada di luar kenderaan dan membiarkan kereta parkir secara sendiri.

Menunjukkan keyakinan penuh terhadap keupayaan sistem ini, BYD turut mengumumkan bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku sebarang kemalangan akibat penggunaan sistem bantuan parkir baru ini. Mereka akan menanggung kos kerosakan, termasuk kerugian harta benda pihak ketiga serta kecederaan, walaupun kenderaan sudah tamat tempoh waranti atau dibeli oleh pemilik kedua. Pendekatan ini mengingatkan kita kepada komitmen awal Volvo ketika membangunkan teknologi pemanduan autonomous.

Selain sistem parkir, kemas kini ini turut mempertingkatkan ciri pemanduan separa automatik Tahap 2 dalam sistem God’s Eye, termasuk keupayaan untuk mempercepat atau memperlahankan kenderaan secara automatik ketika menukar lorong, bergantung kepada aliran trafik. Kenderaan juga akan mengelipkan lampu hadapan dan membunyikan hon jika mengesan kenderaan lain menukar lorong secara berbahaya – satu ciri yang sangat sesuai untuk keadaan trafik di Malaysia.

BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

Turut disertakan ialah penambahbaikan kepada fungsi asas sistem ini, seperti pelarasan automatik ketinggian lampu hadapan ketika berada dalam mod pemanduan bantuan bagi meningkatkan keupayaan pengesanan halangan. Selain itu, lampu isyarat membelok akan dimatikan secara automatik selepas sistem selesai menukar lorong. Bagi model dengan versi asas sistem God’s Eye C (juga dikenali sebagai DiPilot 100 tanpa pengesan lidar), panduan operasi kini dipertingkatkan dan julat kelajuan sistem juga dioptimumkan agar lebih mematuhi tetapan kelajuan yang ditetapkan pengguna.

Kemas kini ini akan mula ditawarkan kepada model “Dynasty” yang menggunakan sistem God’s Eye C terlebih dahulu, termasuk Qin Plus, Qin L, Song L, Song Pro, Yuan Plus (juga dikenali sebagai Atto 3), Yuan Up (Atto 2), dan MPV Xia. Model-model lain akan menyusul tidak lama lagi. Pengumuman ini hadir seiring dengan kejayaan BYD yang kini mempunyai lebih sejuta unit kenderaan dilengkapi sistem God’s Eye yang telah berada di atas jalan raya di China.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required