Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang berlangsung pada Disember tahun lalu kini sudah mengumumkan edisi berikutnya bagi pameran tersebut yang akan berlangsung tahun depan. Penganjurnya, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, acara pameran permotoran itu akan diadakan pada 12 hingga 21 Jun 2025, beralih dari kalendar penganjuran hujung tahun pada 2024 lalu.
Lokasi akan dikekalkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Ia akan diadakan dua kali setahun kerana dianjurkan secara berselang tahunan dengan acara Malaysia Auto Show (MAS), yang baru saja diadakan tahun ini pada April lalu — membolehkan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu pameran automotif setiap tahun.
KLIMS akan terus bertindak selaku pameran dengan pendekatan tradisional, dengan mempamerkan model-model baru serta kereta konsep yang akan menjadi tumpuan utama, jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain. Ini berbeza dengan pameran berasaskan jualan yang dianjurkan untuk MAS, yang mana pengedar akan mengambil tempahan untuk kenderaan baru dan pelanggan boleh memandu uji kenderaan.
MAA sedang merancang penambahbaikan yang akan menerapkan beberapa elemen daripada MAS untuk KLIMS, seperti sesi pandu uji, walaupun semua itu bergantung kepada jenama masing-masing yang terlibat. “Kami sudah mempunyai petunjuk bahawa bahkan jenama yang tidak ikut serta tahun lalu juga sudah merancang untuk menyertai pameran ini,” jelas Mohd Shamsor. “Kami berharap akan dapat membawakan pameran yang lebih meriah tahun depan.”
Perubahan lain juga akan dilakukan untuk memperbaiki kekurangan dalam edisi yang lalu, seperti kekurangan kemudahan untuk petugas media. Itu terjadi kerana waktu singkat yang terpaksa dilalui oleh penganjuran tahn lalu, selepas keluar dari pandemik Covid-19 sebelumnya. Begitu juga senggang yang terlalu lama kerana MAA berehat daripada penganjuran sebelum itu — melibatkan tempoh enam tahun tanpa pameran tersebut.
“Kali ini, kerana ada banyak masa untuk merancang, kami akan menyediakan lebih banyak aktiviti dan kemudahan untuk semua,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.