Pasaran kenderaan elektrifikasi (xEV) di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif pada separuh pertama tahun 2025. Menurut data terbaharu yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 30,573 unit xEV (termasuk hibrid dan elektrik penuh) berjaya dijual dalam tempoh Januari hingga Jun 2025. Jumlah ini bersamaan peningkatan sebanyak 35.6% atau 8,031 unit berbanding 22,542 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, jualan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) melonjak hampir dua kali ganda, iaitu meningkat sebanyak 91.4% daripada 6,651 unit pada separuh pertama 2024 kepada 12,733 unit dalam tempoh sama tahun ini. Sementara itu, jualan hibrid juga mencatatkan pertumbuhan dengan 17,840 unit terjual, meningkat 12.3% atau 1,949 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Perlu diambil kira bahawa data yang dikeluarkan oleh MAA ini hanya melibatkan ahli berdaftar sahaja. Ini bermaksud, angka jualan tidak termasuk model yang dijual oleh pengeluar bukan ahli seperti Tesla, Zeekr dan Xpeng. Sekiranya angka daripada ketiga-tiga jenama ini disertakan — berdasarkan data pendaftaran JPJ sebanyak 3,564 unit setakat separuh pertama 2025 (termasuk kemungkinan beberapa unit Tesla import recond) — maka jumlah jualan sebenar EV akan meningkat kepada 16,297 unit.
Ini memberikan anggaran pegangan pasaran sekitar 4.3%, jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk separuh pertama 2025 sebanyak 373,636 unit, ditambah dengan data JPJ menjadikan jumlah keseluruhan 377,200 unit. Bagi kenderaan hibrid pula, pegangan pasarannya sedikit lebih tinggi pada sekitar 4.7%. Jika hanya mengambil kira angka MAA tanpa tiga jenama luar tersebut, pegangan pasaran EV ialah 3.4%, manakala hibrid mencatat hampir 4.8%.
Melihat kepada data tahun-tahun terdahulu, jualan kenderaan elektrifikasi di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang konsisten. Pada tahun 2021, sebanyak 8,153 unit xEV terjual, dengan kenderaan hibrid mendominasi sebanyak 7,875 unit, manakala EV hanya mencatat 278 unit sahaja.
Kemasukan lebih banyak model hibrid ke pasaran pada tahun 2021 dan 2022 telah melonjakkan jualan kepada 19,988 unit pada tahun 2022, meningkat sebanyak 153.8%. Dalam masa yang sama, EV turut menikmati pertumbuhan mendadak kepada 2,631 unit (+846.4%), hasil daripada insentif kerajaan yang mula berkuat kuasa pada awal tahun tersebut. Jumlah keseluruhan xEV bagi tahun 2022 ialah 22,619 unit, naik 177.4% berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini berterusan ke tahun 2023 dengan jumlah jualan xEV meningkat kepada 38,214 unit (+68.9%). EV mencatat pertumbuhan lebih tinggi berbanding hibrid, dengan 10,159 unit (+286.1%) terjual, manakala hibrid masih menguasai pasaran dengan 28,055 unit (+40.4%).
Pada tahun 2024, jualan hibrid terus meningkat kepada 30,796 unit, iaitu pertambahan sebanyak 9.8%. Walaupun insentif EV dilanjutkan oleh kerajaan, kadar pertumbuhannya sedikit perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sebanyak 14,766 unit EV berjaya dijual, meningkat 45.3% berbanding 2023. Secara keseluruhan, jumlah jualan xEV bagi tahun 2024 ialah 45,562 unit, naik 19.2%.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.