Sebelum ini, ada dilaporkan yang pelaksanaan semakan peraturan cukai eksais di bawah PU(A) 402/2019—Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan Keluaran Tempatan untuk Tujuan Cukai Eksais), yang sepatutnya dimulakan pada awal tahun ini, telah ditangguh ke Januari 2026.
Pelaksanaan ‘402’ ini, atau semakan duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), akan memperluas skop barangan yang boleh dicukai bagi kereta CKD dengan menyertakan kos bukan-pengilangan seperti jualan, pemasaran dan perbelanjaan pengurusan dan keuntungan. Dengan itu, ia dijangka akan menaikkan harga kenderaan CKD. Ini akan kita lihat kesannya kelak, sama ada betul atau tidak.
Laporan awal memberi petunjuk bahawa harga kenderaan CKD boleh meningkat sekurang-kuranganya antara 10%-30%. Tetapi, Februari lalu, Kementerian Kewangan dengan tegas menafikan situasi itu akan berlaku, dengan memaklumkan bahawa kaedah penilaian kenderaan masih dikaji, dan belum ada sebarang keputusan akhir berkaitan hal tersebut.
Dengan hanya tinggal lima bulan sahaja lagi sebelum OMV/402 ini dilaksanakan, persoalan sama ada ia akan dilaksanakan seperti dirancang masih belum terjawab. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) ketika taklimat prestasi separuh pertama 2025 semalam turut menyentuh hal ini.
Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, OMV/402 ini akan dilaksanakan mengikut perancangan, tetapi kaedah baru akan digunakan untuk meminimumkan kesannya kepada pengguna dan akan diumumkan kelak.
“Kami telah berbincang dengan Kementerian Kewangan, dan OMV pasti akan dilaksanakan, memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada penjajaran semula bagi panduan World Customs Organisation,” ujarnya.
Sama ada kenderaan CKD akan naik harga sekitar 10%-30% sekiranya menggunakan format yang telah diwartakan, tidak dinafikan itu ada kebarangkaliannya. “Ya, jika kesan 402 ini dikira mengikut format lama, pastinya akan melibatkan kenaikan 10%-30% sebagai kesan ke atas harga atas jalan (OTR) kenderaan,” jelasnya.
“Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang kami terima, petunjuknya adalah akan ada kaedah baru atau cara pengiraan baru untuk meminimumkan kesan berkenaan. Kami masih menunggu taklimat berikutnya daripada pihak berwajib, harapnya dalam masa terdekat,” tambah beliau, dan menambah bahawa MAA berharap akan mendapat kemaskini berkaitan perkata itu dalam tempoh segera.
Ini adalah kerana baki tempoh yang tersisa sebelum pelaksanaan OMV/402 ini semakin singkat. “Dengan hanya lima bulan yang tinggal, tempoh itu terlalu singkat untuk membolehkan mana-mana produksi untuk bertindak balas. Kerisauan kami adalah ini akan melibatkan rantaian bekalan, dan kesannya ke atas logistik dan sebagainya. Kami memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk melakukan perubahan yang diperlukan,” jelasnya.
Tentang adakah kerajaan telah memberi jaminan bahawa harga kenderaan tidak akan meningkat sehingga 10%-30%, Shamsor berkata belum ada sebarang petunjuk yang diberikan dalam bentuk bertulis. “Tetapi, berdasarkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, mereka memaklumkan yang mereka akan kaedah bagi meminimumkan kesan tersebut,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.