Tesla Model Y L muncul dalam teaser di China – jarak roda lebih panjang, tiga baris tempat duduk?

Tesla Model Y L muncul dalam teaser di China – jarak roda lebih panjang, tiga baris tempat duduk?

Tesla menyiarkan satu teaser model baru yang dinamakan sebagai Tesla Model Y L menerusi akaun rasmi Tesla China di platform Weibo. Imej teaser tersebut menunjukkan profil sisi Model Y dengan lencana “Y” di belakang yang direka sedikit berbeza — kelihatan seolah-olah ada bayang tiga kali yang mungkin merujuk kepada tiga baris tempat duduk.

Nama rasmi “Model Y L” turut disahkan melalui keterangan yang digunakan, dan ia mengikuti cara penamaan kenderaan versi jarak roda panjang (long wheelbase) yang biasa dilihat dalam pasaran automotif China.

Teaser ini dipercayai dikeluarkan selepas reka bentuk sebenar Model Y L turut didedahkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), yang merupakan sebahagian daripada keperluan untuk proses pendaftaran dan kelulusan kenderaan baru di China.

Berdasarkan data MIIT, Tesla Model Y L mempunyai ukuran panjang 4,976 mm, tinggi 1,668 mm dan jarak roda 3,040 mm. Sebagai perbandingan, Model Y versi “Juniper” sedia ada berukuran 4,790 mm panjang, 1,624 mm tinggi dan jarak roda 2,891 mm. Ini bermakna, Model Y L mempunyai tambahan 149 mm pada jarak roda, memberikan lebih ruang dalaman.

Menariknya, Tesla sebelum ini pernah menawarkan Model Y versi tiga baris tempat duduk (7 tempat duduk) untuk model asal, tetapi pilihan ini tidak lagi tersedia pada versi Juniper. Kini, dengan kehadiran Model Y L, konfigurasi tiga baris kembali semula — namun kali ini sebagai varian enam tempat duduk, berkemungkinan dengan tempat duduk individu pada baris kedua, berbanding bangku panjang (bench) sebelum ini.

Setakat ini, Tesla China masih belum membuka tempahan rasmi untuk Model Y L di laman web mereka. Belum dapat dipastikan sama ada model ini akan dijual secara eksklusif di China atau turut dieksport ke pasaran lain seperti Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required