Siapa kata sedan sudah tidak relevan? Geely jelas membuktikan sebaliknya apabila telah melancarkan tiga model sedan baru tahun ini sahaja dan kini muncul pula model keempat dikenali sebagai Geely Galaxy Starshine 6. Model plug-in hybrid ini didedahkan melalui dokumen rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), dan bakal mengisi ruang di antara model segmen C, Galaxy L6 dan model segmen D, Galaxy A7, dalam barisan produk Geely yang semakin padat.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Autohome, Galaxy Starshine 6 memiliki ukuran panjang 4,806 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,490 mm. Ini menjadikannya 112 mm lebih pendek, 19 mm lebih sempit dan 5 mm lebih rendah daripada A7, manakala jarak roda sepanjang 2,756 mm pula adalah 89 mm lebih pendek.
Berbanding L6, Starshine 6 pula lebih panjang sebanyak 24 mm, lebih lebar 11 mm dan lebih tinggi 1 mm, dengan jarak roda yang lebih panjang 4 mm. Melihat kepada saiz ini, ada kemungkinan besar Starshine 6 akan menggantikan L6 sebagai model baru, manakala L6 sedia ada mungkin akan terus ditawarkan sebagai pilihan lebih mampu milik.
Nama Starshine 6 mungkin mengelirukan kerana ia memberi bayangan seolah-olah berkait dengan model utama Starshine 8, sedangkan dari sudut mekanikal, ia lebih hampir kepada A7. Antara teknologi yang dijangka dikongsi ialah sistem kuasa hibrid EM-i, yang menggabungkan enjin 1.5 liter NA (BHE15PFI) berkuasa 111 PS dan 136 Nm bersama motor elektrik berkuasa 238 PS dan 262 Nm, dipadankan dengan transmisi hibrid satu kelajuan (DHT) dengan nisbah gear 11:1.
Untuk rujukan, sistem ini pada model A7 mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat, mencapai kelajuan maksimum 190 km/j dan mencatat penggunaan bahan api serendah 2.67 l/100 km. Bateri LFP 18.4 kWh pula membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 150 km dan jarak keseluruhan melebihi 2,100 km. Dengan saiz dan berat yang lebih kecil berbanding Starshine 6, angka-angka ini mungkin akan menjadi lebih baik.
Dari aspek rekaan, Starshine 6 turut kelihatan mirip kepada A7 dengan lampu utama yang tirus, rekaan cermin sisi enam panel yang melengkung, pemegang pintu jenis tarik konvensional dan lampu belakang melintang penuh. Namun, terdapat satu perbezaan ketara – bahagian belakang Starshine 6 menggantikan bar lampu A7 dengan gril besar berbentuk trapezoid bersama jalur menegak, memberikan sentuhan gaya seperti Mercedes-AMG GT 4-Door.
Sebelum ini, Galaxy A7 sering disebut sebagai calon kuat untuk menjadi model Proton eMas pada masa akan datang. Namun, dengan saiz lebih kompak dan gaya lebih sporty yang lebih selari dengan citarasa pasaran tempatan, adakah Starshine 6 sebenarnya lebih sesuai untuk pasaran Malaysia? Apa pula pilihan anda – A7 atau Starshine 6?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.