Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam seat; dari RM179k

Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam <em>seat</em>; dari RM179k

Setelah beberapa kali pengedarnya Omoda | Jaecoo Malaysia menampilkannya kepada umum di sini, model SUV Jaecoo J8 akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Pada Mac lalu, spesifikasi untuk pasaran tempatan serta pendaftaran minatnya sudah dibuka.

Untuk Malaysia, Jaecoo J8 ditawarkan dalam dua varian: varian 2WD lima-tempat duduk dijual dengan harga RM178,800, dan diikuti dengan varian tertinggi AWD enam-tempat duduk dengan harga RM198,800. Angka-angka ini adalah lebih rendah berbanding harga anggaran yang diumumkan sebelum ini, iaitu RM195,000 dan RM220,000. Model ini juga datang dengan jaminan tujuh-tahun/150,000km sebagai standard.

Untuk enjin, kedua-dua varian ini menggunakan unit yang sama: enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder — dikongsi dengan Chery Tiggo 8 Pro dan Omoda C9 — yang menjana sebanyak 249 PS kuasa dan 385 Nm tork. Ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan seperti model C9 (bukan DCT tujuh-kelajuan) — dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda, mengikut penawaran variannya.

Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam <em>seat</em>; dari RM179k

Dari aspek prestasi, Jaecoo J8 2WD mampu memecut dari 0–100 km/j dalam masa 8.8 saat, manakala varian AWD mengambil masa 9.0 saat. Kedua-dua varian juga mampu mencapai laju maksimum 200 km/j. Sementara itu, kadar penggunaan minyak ialah pada tahap 7.8L/100km (piawaian WLTP) untuk versi 2WD dan 8.1L/100km (WLTP) untuk pilihan AWD.

Sebetulnya, Jaecoo J8 merupakan SUV flagship yang lebih besar daripada kebanyakkan SUV segmen D yang lain. Ia hadir dengan ukuran dimensi 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,820 mm. Ini menjadikan model ini 100 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh berbanding SUV segmen D Chery Tiggo 8 Pro.

Dari segi rupa luaran, J8 direka seakan SUV bersaiz besar dari Amerika Syarikat seperti Lincoln Aviator, khususnya pada bahagian fender hadapan, tiang-D dan juga lampu belakang. Ia agak berbeza dengan model-model Jaecoo lain seperti J7 yang banyak menerima inspirasi dari model-model Range Rover.

Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam <em>seat</em>; dari RM179k

Di dalam, rekaan kabin J8 sama seperti rekaan SUV keluaran Chery, yang mana ia mengambil banyak inspirasi daripada model-model Mercedes-Benz. Ini boleh dilihat menerusi rekaan konsol tengah yang lebar tanpa tombol gear konvensional dan diganti dengan tuil penukar gear di kolum stereng, corak pada balutan tempat duduk serta kemasan-kemasan perak dan kayu, butang penghidup enjin, suis larasan tempat duduk, serta banyak lagi.

Turut mengambil ilham daripada Mercedes-Benz ialah papan pemuka dengan skrin paparan instrumen dan infotainmen yang bercantum, dengan masing-masing bersaiz 12.3-inci, yang turut menampilkan Head Up Display (HUD). Tidak ketinggalan, ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar juga tersedia.

Untuk aspek keselesaan dan konfigurasi kerusi, J8 AWD menjadi yang pertama dalam kelasnya yang menampilkan “Queen Seat” untuk penumpang depan, dengan kebolehan untuk melaraskan bahagian sokongan kaki, serta kerusi dengan ciri pemanas, liang udara, urutan dan memori (HVMM) untuk pemandu, penumpang depan dan juga penumpang di barisan kedua. Melengkapkan lagi ciri mewah dalam kabinnya ialah pelapik bumbung gentian mikro serta sistem lampu ambient dengan 256-warna.

Perbezaan bagi varian 2WD termasuklah sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, enam-beg udara, lampu suasana kabin dan dan balutan kulit buatan. Dengan ketiadaan tempat duduk baris ketiga, varian ini menyediakan ruang but dengan kapasiti 738 liter. Dengan tempat duduk baris ketiga dinaikkan, ruang but varian ini hanya menyediakan ruang berkapasiti 200 liter.

Jaecoo J8 AWD pula diberikan kelengkapan lebih baik seperti sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara (tambahan dua lagi di perehat kepala tempat duduk hadapan), 10-beg udara, pintu berkuasa, sistem pewangi automatik, sistem kunci pintar menggunakan NFC, dashcam binaan dalam, tempat duduk hadapan larasan elektrik, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi pengurut, tirai cermin tingkap belakang, balutan kulit sebenar serta kemasan-kemasan suede.

Bagi aspek keselamatan, Jaecoo J8 lengkap dengan sistem ADAS Tahap 2.5 yang merangkumi antaranya ciri Adaptive Cruise Control (ACC), Driver Monitoring System (DMS), Lane Change Assistance (LCA), Automatic Emergency Braking (AEB) dan Forward Distance Monitoring (FDM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Event Data Recorder (EDR) serta Fully Automatic Parking untuk varian AWD — begitu juga dengan 10-beg udara untuk varian tertinggi tersebut.

J8 ini juga turut dilengkapi sistem parkir automatik, suspensi yang diberikan penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC), serta boleh mengharungi laluan air dengan kedalaman 450 mm.

Untuk warna badan, varian 2WD ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey. Kesemua pilihan warna ini turut diberikan pada varian AWD, tetapi hadir dengan tema dua tona warna dengan bahagian bumbungnya dalam kemasan hitam.

Tempahan sebelum 21 Julai 2025, pelanggan akan menerima satu tahun insurans percuma di bawah Program Jaecoo Prime Protection, serta jaminan 10-tahun untuk enjin tanpa had perbatuan, dan satu pengalaman off-road eksklusif.

Jaecoo J8 2025 AWD

Jaecoo J8 2025 AWD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required