Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kini berada di peringkat akhir semakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara), yang bertujuan untuk menambahbaik sistem tersebut, laporan Bernama.
.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, semakan yang sedang dirangka itu merupakan sebahagian daripada penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem berkenaan yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bulan lalu.
“Sistem Kejara kini berada di peringkat akhir semakan di JPJ sebelum dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan,” katanya sambil menambah bahawa penambahbaikan ini akan mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan aspek perundangan dan pindaan yang perlu dibuat.
Ini kerana mata demerit hanya akan ditolak bagi sesuatu kesalahan apabila pesalah trafik melangsaikan saman mereka, walau bagaimana pun, ramai individu yang disaman berjaya mengelak daripada dikenakan tindakan di bawah Kejara hanya dengan tidak membayar saman tersebut. Aedy Fadly berkata penambahbaikan ini akan memastikan penguatkuasaan yang cepat dan konsisten supaya pemandu yang melakukan kesalahan dipertanggungjawabkan dan mengelakkan mereka mengabaikan saman yang diterima.
Diperkenalkan pada tahun 1984, sistem Kejara melibatkan pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan bermotor yang melakukan kesalahan tertentu seperti yang dijadualkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya. Sebanyak 20 kesalahan yang dikenal pasti berpotensi menyebabkan kemalangan serius atau maut serta membahayakan pengguna jalan raya lain telah dimasukkan dalam sistem ini.
Walau bagaimana pun, sistem ini telah digantung pada tahun 2011 disebabkan isu penguatkuasaan dan kebolehlaksanaan, namun pada tahun 2015 diumumkan bahawa ia akan diperkenalkan semula bersama Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Perkara ini akhirnya direalisasikan pada tahun 2017 apabila Kejara dan AES digabungkan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.