Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memulakan projek rintis kursus pemulihan bagi pemegang Lesen Vokasional untuk Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung pada November ini.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, kursus terbabit bertujuan meningkatkan semula tahap kesedaran serta mengukuhkan kembali pengetahuan berkaitan undang-undang jalan raya, etika pemanduan dan aspek keselamatan yang mungkin sudah dilupakan selepas memperoleh lesen dulu, laporan Bernama.
“Mereka wajib menjalani kursus pemulihan itu sebelum diberikan semula lesen berkenaan, perkara ini akan dilaksanakan dan ia dalam peringkat perincian. Kita sedang meneliti beberapa perkara lagi bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk kita laksanakan program ini, mungkin ia akan dimulakan secara rintis terlebih dahulu mulai November ini,”katanya.
Tambahnya, beberapa perkara mengenai kursus pemulihan seperti membabitkan modul dan latihan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Pemandu kenderaan berat sekarang , apabila mendapat lesen PSV dan GDL, mereka terus boleh memandu dan mereka tidak ada latihan lanjutan. Kursus pemulihan dilaksanakan untuk mengingatkan semula pemandu berkenaan mengenai peraturan yang mungkin sudah dilupakan.
“Kita mungkin akan memperkenalkan kursus penyegaran lanjutan ini kepada pemandu kenderaan berat tetapi bukanlah dalam masa terdekat,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.