Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menerima sebanyak 5,000 tempahan untuk X50 facelift 2025 selepas ia dibuka sejak 5 Julai lalu. Tempahan yang cukup banyak itu diterima walaupun harga bagi SUV segmen-B ini belum diumumkan, dan ia hanya akan diketahui ketika pelancarannya pada 24 Julai ini.
Sebelum ini Proton telah mengesahkan bahawa 10,000 pelanggan terawal X50 facelift ini akan menerima rebat tunai sebanyak RM1,000, “Gempak Deal” eksklusif yang akan diperincikan ketika pelancarannya rasminya, serta kad Touch ‘n Go edisi istimewa. Orang ramai juga sudah boleh mula memandu uji model ini di semua bilik-bilik pameran Proton di seluruh negara bermula 19 Julai 2025.
“Pasukan pengeluaran Proton di Tanjong Malim juga telah berusaha keras membina stok agar penyerahan kereta kepada pelanggan dapat dilakukan sebaik sahaja pelancaran. Sasaran kami adalah sekurang-kurangnya 5,000 unit sedia untuk pendaftaran menjelang akhir Ogos bagi memendekkan tempoh menunggu pelanggan selepas membuat tempahan,” kata naib CEO Proton Edar, Zhang Qiang.
Proton X50 facelift ini telah menerima perubahan menyeluruh bukan hanya pada rekaan luaran dan dalaman, malah kini turut telah menerima enjin baharu i-GT dengan kod BHE15 keluaran Aurobay 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo sebelum ini.
Selain dari harga, kesemua perincian, varian, spesifikasi dan sebagainya telah pun didedahkan dan anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.
Proton X50 2025 Premium
Proton X50 2025 Flagship
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.