Anda mungkin pernah melihat model smart #5 secara dekat semasa Malaysia Autoshow yang lalu dan sekarang, muncul pula versi plug-in hybrid (PHEV) yang dinamakan smart #5 EHD (Electric Hybrid Drive), seperti yang dilaporkan oleh Car News China.
Setakat ini, maklumat yang diketahui hanya ia menggunakan enjin turbo 1.5 liter BHE15-CFZ dengan kuasa 163 PS, bateri CATL jenis LFP berkapasiti lebih 40 kWh serta kecekapan penggunaan bahan api sekitar 4.4 liter bagi setiap 100 km mengikut piawaian CLTC.
Ia juga mampu bergerak sejauh 250 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan memberikan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,600 km. Bagaimanapun, kuasa motor elektrik untuk model ini masih belum diumumkan secara rasmi.
Untuk dimensi, smart #5 EHD mencatat ukuran panjang 4,705 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,710 mm dan mempunyai jarak roda 2,900 mm. Berat keseluruhan adalah 2,190 kg, menjadikannya lebih ringan berbanding varian EV penuh yang mempunyai berat 2,450 kg. Ini boleh difahami memandangkan versi EV dilengkapi dengan bateri yang jauh lebih besar — 76 kWh untuk varian pacuan roda belakang (RWD) dan 100 kWh jenis NMC untuk varian pacuan semua roda (AWD).
Melihat kepada rekaan luaran, perbezaan utama antara model PHEV ini dengan versi EV terletak pada kehadiran sistem LiDAR di bumbung serta rekaan bampar depan dan belakang yang sedikit berbeza. Selain daripada rekaan rim, tiada perubahan besar yang dapat dilihat buat masa ini.
Maklumat lanjut mengenai model ini dijangka akan diumumkan tidak lama lagi. Dengan kehadiran smart #5 EHD, pengguna kini mempunyai satu lagi pilihan menarik dalam segmen kenderaan hibrid moden yang menggabungkan prestasi elektrik dan enjin pembakaran dalaman.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.