BYD Cars Malaysia mengambil kesempatan dalam kemeriahan penganjuran PACE 2025 yang membuka tirainya hari ini di Setia Convention Centre, bagi mempertontonkan model terbaharunya BYD Atto 2, biarpun dibaluti balutan penyamaran termasuk cermin tingkap yang digelapkan.
Bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada 24 Julai ini, SUV kompak ini didedahkan buat pertama kalinya pada Februari 2024 di China, dan ia dikenali sebaggai Yuan Up. Diposisikan di antara model Dolphin dan Atto 3, Atto 2 kemudiannya diperkenalkan secara rasmi di Bangkok International Motor Show 2025 pada Mac tahun ini. Ia memiliki ukuran bersaiz 4,310 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,675 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,620 mm. Sebagai perbandingan, Dolphin pula berukuran 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda berukuran 2,700 mm.
Jika dibandingkan dengan pencabarnya yang lain, Atto 2 lebih kurang sama saiz dengan Proton X50, yang berukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Ia juga bakal bersaing dengan Honda HR-V yang berukuran 4,347 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,591 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,610 mm.
Pastinya anda ingin mengetahui berapakah harga Atto 2 untuk pasaran Malaysia. Maaf, kami masih belum mempunyai jawapannya dan ia akan diketahui ketika pelancarannya minggu hadapan. Buat masa ini, mungkin kita boleh mengagak jangkaan harganya jika dibandingkan dengan harga antara Dolphin dan Atto 3. Di mana Dolphin berharga dari RM100,700 tanpa insurans untuk varian asas Dynamic Standard dan meningkat hingga RM125,600 untuk model spesifikasi penuh Premium Extended.
Manakala Atto 3 yang kini ditawarkan dengan varian tunggal Ultra ditawarkan pada harga atas jalan RM124,500 tanpa insurans. Jadi, kemungkinan besar Atto 2 ditetapkan pada harga pertengahan di antara Dolphin dan Atto 3.
Untuk perincian penjana kuasa yang ditawarkan di pasaran kita juga masih belum didedahkan. Namun
di China, Atto 2/Yuan Up yang ditawarkan dalam lima varian, dengan harga antara 96,800 ke 119,800 yuan (sekitar RM59k ke RM73k), disediakan dua penggerak iaitu motor elektrik 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm yang membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade, dengan kapasiti tenaga 32 kWh dan jarak gerak 301 km (CLTC).
Turut disediakan adalah bateri 45.12 kWh, yang dapat menaikkan jarak geraknya kepada 401 km. Bateri yang lebih besar itu juga boleh dipadankan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, memberikan kuasa 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan tork 290 Nm, dengan jarak gerak CLTC masih sama (401 km) atau 312 km jika mengikut standard WLTP.
Untuk pasaran Malaysia, dijangka ia bakal menerima bateri yang besar (45.12 kWh) dan motor elektrik yang lebih padu (177 PS), walau bagaimana pun baru-baru ini BYD mendedahkan Australia akan menerima Atto 2 dengan motor 177 PS dan bateri yang lebih besar iaitu 51.1 kWh yang mampu memberikan jarak hingga 350 km mengikut WLTP. Perinciannya ini akan kita ketahui sewaktu pelancarannya kelak.
Bagi pengecasannya, Atto 2 dengan bateri 32 kWh boleh menggunakan pengecas DC hingga 45 kW, sementara dengan bateri 45.12 kWh, ia boleh dicas dengan pengecas DC hingga 65 kW, mampu mencapai tahap 10-80% dalam 37 minit. Jika menggunakan pengecas AC 11 kW pula, pengecasan penuh mengambil masa sekitar 5.5 jam.
Bagi ciri kelengkapan yang diberikan untuk pasaran Malaysia juga belum dapat dipastikan. Namun unit yang dipamerkan di PACE 2025 ini dilengkapi roda bersaiz 17-inci dan ada ADAS, kedua-duanya turut ditawarkan di China dengan kos tambahan.
Selain itu, kelihatan pencahayaan luaran LED dan keupayaan membuka pintu kereta dengan menggunakan NFC (ada sensor pada cermin sisi). Untuk kabinnya, dijangkakan ia bakal diberikan kluster instrumen 8.8-inci dan skrin sesentuh infotainmen boleh pusing sekurang-kurangnya berukuran 10.1-inci (12.8-inci sebagai pilihan untuk varian lebih tinggi di China).
GALERI: BYD Atto 2 di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.