Seperti yang kami khabarkan sebelum ini, GWM Malaysia mempamerkan MPV plug-in hybrid (PHEV), Wey 80, di dalam acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 yang sedang berlangsung di Setia Convention Center sehingga esok.
Jika semasa Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) pada Disember lalu, Wey 80 yang dipamerkan merupakan versi pemanduan sebelah-kiri (LHD) dan juga model pra-peningkatan, namun di PACE 2025, ia mempertontonkan unit pemanduan sebelah-kanan (RHD) yang merupakan versi sebenar yang bakal dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran tempatan. Sama seperti yang diperkenalkan pada April lalu di Auto Shanghai 2025. Sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di luar China yang menerima versi RHD.
Wey 80 yang dipamerkan di PACE 2025 ini menunjukkan ia diberikan konfigurasi tujuh-tempat duduk. Untuk bahagian kabinnya, antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah roda stereng dua-jejari baharu dan skrin paparan tunggal berbanding dua bentangan skrin instrumen berasingan 12.3-inci dan juga 15.6-inci seperti mana yang diberikan kepada Wey Gaoshan 9 yang dipamerkan di Shanghai.
Ditambah pula dengan tempat duduk kapten sifar-graviti pada barisan kedua yang telah direka semula, kini mempunyai kawalan larasan tempat duduk fizikal yang terletak di hujung perehat tangan bagi kedua-dua unit.
Untuk penjana kuasanya, belum ada perincian didedahkan. Namun jika ia masih mengekalkan penjana kuasa Hi-4 plug-in seperti Wey 80 di KLIMS, yang dijangka menggandingkan enjin 1.5 liter pengecas turbo petrol dengan kuasa 154 hp (156 PS), bersama dua motor elektrik iaitu unit 174 hp (177 PS, atau 130 kW) di hadapan dan 181 hp (183 PS, atau 135 kW) di belakang.
Ini memberikan keseluruhan kombinasi kuasa mencecah 480 hp (487 PS atau 358 kW) dan tork 762 Nm, dengan bateri lithium berkapasiti 37.96 kWh yang mampu menyalurkn jarak gerak hingga 140 km (CLTC) bagi pacuan elektrik sahaja.
Di China, Wey 80 baharu dikuasakan oleh sistem Hi4 (Hybrid intelligent 4WD) yang dipertingkatkan, yang terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo empat-silinder 170 PS/245 Nm, motor elektrik 109 PS/170 Nm dan transmisi hibrid khas (DHT) empat-kelajuan, bersama satu lagi motor 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang.
Kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 458 PS dan 644 Nm, dengan bateri yang digunakan adalah unit nickel manganese cobalt (NMC) 51.55 kWh, mampu memberikan jarak gerak elektrik (WLTP) 201 km dan jarak gerak keseluruhan 963 km.
Wey 80 yang dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini juga dijangka mampu memberikan persaingan sengit buat MPV elektrik Denza D9, Zeekr 009 dan Xpeng X9 serta Toyota Alphard dan Vellfire. GMW Malaysia juga telah mengesahkan bahawa MPV PHEV ini akan dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Melaka, dan mungkin ditawarkan dengan harga yang lebih kompetitif. Kalau nak tengok Wey 80 di hadapan mata, jom kunjungi PACE 2025 dan masuk adalah percuma.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.