Selepas menyedari kemas kini yang dibuat pada Tesla Model Y Juniper facelift, kami turut menyemak laman web rasmi Tesla Malaysia untuk melihat sama ada model Model 3 Highland menerima sebarang perubahan. Nampaknya memang ada.
Perubahan utama adalah pada varian asas pacuan roda belakang (RWD), yang kini mencatat jarak maksimum 520 km mengikut penilaian WLTP – meningkat berbanding 513 km sebelum ini. Meskipun perubahan ini baru disedari ramai, laporan dari CarExpert menunjukkan peningkatan ini telah berlaku sejak Mei lalu.
Menurut laporan dari Australia itu, peningkatan jarak ini adalah hasil daripada penggunaan bateri LFP (lithium iron phosphate) 62.5 kWj dari CATL, iaitu bateri sama yang digunakan pada Model Y RWD. Sebelum ini, Model 3 RWD menggunakan unit 60 kWj.
Meskipun jarak pemanduan bertambah, harga Model 3 RWD kekal pada RM181,000. Bagi varian lain, tiada perubahan dari segi prestasi atau harga. Model 3 Long Range AWD masih menawarkan 629 km jarak pemanduan dengan harga RM210,000, manakala Model 3 Performance AWD mengekalkan 528 km pada RM242,000.
Tesla juga telah menyemak semula pilihan warna luaran untuk Model 3. Warna standard kini ialah Stealth Grey, menggantikan Pearl White Multi-Coat yang sebelum ini menjadi warna asas. Perlu diingat, Stealth Grey sebelum ini merupakan pilihan berbayar bernilai RM7,500, lebih mahal berbanding Pearl White yang kini ditawarkan pada RM5,000.
Pilihan warna lain termasuk Deep Blue Metallic (RM5,000), manakala Quicksilver dan Ultra Red kekal sebagai warna premium berharga RM11,000. Warna Solid Black telah digantikan dengan Diamond Black, yang juga berharga RM5,000.
Senarai pilihan tambahan masih dikekalkan, termasuk rim 19 inci Nova untuk varian RWD dan AWD Long Range, serta ruang dalaman hitam putih yang ditawarkan pada harga tambahan RM5,000 berbanding konfigurasi standard serba hitam. Dua pakej Autopilot masih ditawarkan, iaitu Enhanced Autopilot (RM16,000) dan Full Self-Driving Capability (RM32,000), tanpa sebarang perubahan harga.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.