Hanya selepas beberapa bulan ditawarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, Tesla Model Y Juniper facelift sekarang diberikan kemas kini. Perubahan paling ketara melibatkan varian tertinggi Long Range All-Wheel Drive (AWD), yang kini mencatat jarak pemanduan 600 km mengikut piawaian WLTP – meningkat berbanding 551 km sebelum ini.
Peningkatan sama turut dilaporkan berlaku di Australia awal minggu ini, berdasarkan laporan CarExpert yang memetik data pensijilan dari Korea Selatan. Menurut laporan itu, penambahan jarak ini berpunca daripada peningkatan kapasiti bateri varian LR AWD, daripada 81.65 kWj kepada 84.85 kWj.
Berita baiknya, meskipun prestasi bateri dipertingkatkan, harga Model Y LR AWD kekal pada RM242,450. Sementara itu, varian asas Rear-Wheel Drive (RWD) tidak mengalami sebarang perubahan teknikal dan masih menawarkan jarak 466 km pada harga RM195,450.
Kemas kini kali ini juga memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Model Y di Malaysia. Warna Diamond Black kini ditawarkan sebagai tambahan, selari dengan penawaran terkini di Australia. Warna ini dikenakan bayaran tambahan RM5,000, iaitu jumlah yang sama dengan Pearl White Multi-Coat.
Untuk pembeli yang mahukan pilihan lebih premium, terdapat warna Glacier Blue dengan harga tambahan RM7,500, manakala Quicksilver dan Ultra Red ditawarkan pada harga RM11,000. Warna asas kekal Stealth Grey, manakala ruang dalaman serba hitam diberikan secara standard.
Pilihan lain yang masih ditawarkan termasuk rim Helix 2.0 bersaiz 20 inci dengan tambahan RM10,000, serta ruang dalaman hitam putih yang boleh dipilih pada harga RM5,000. Pakej Autopilot juga tidak berubah, dengan Enhanced Autopilot ditawarkan pada harga RM16,000 dan Full Self-Driving Capability pada RM32,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.