BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan model sports activity vehicle (SAV) BMW iX xDrive60 M Sport Pro dan BMW iX xDrive45 Sport untuk pasaran Malaysia, masing-masing dengan harga jualan RM487,800 dan RM425,800; harga atas jalan dengan jaminan standard selama dua tahun. Jika dengan pakej lanjutan jaminan dan servis, harga masing-masing akan menjadi RM460,700 dan RM522,700.
Dari segi rekaan luaran, iX baru ini masih mengekalkan identiti ikoniknya, yang kini telah diberikan sentuhan yang lebih halus dan dinamik. Rekaan “kidney grille”-nya kini hadir dengan kemasan garis yang lebih jelas, serta lengkap dengan ciri BMW Iconic Glow ketika pintu dibuka dan ditutup — satu ciri yang pertama kali diperkenalkan untuk model ini.
Bahagian lampu utama juga dari jenis LED adaptif dengan fungsi bantuan lampu tinggi serta dua lampu sudut dikedua-dua belah untuk pencahayaan yang lebih jelas. BMW iX 2025 ini juga tampil dengan pakej cermin sisi luaran yang baru.
Khusus untuk model BMW iX xDrive60 M Sport Pro, pakej M Sport Pro turut disediakan sebagai ciri standard. Ini terdiri daripada rim aerodinamik M 22-inci jenis 1025 M Multicolour 3D kemasan berkilat yang dipadankan dengan angkup brek Sport merah serta M Lights Shadowline. Pakej M Aerodynamics pula menyerlahkan lagi garis bentuk di bahagian depan dan belakang, menjadikan penampilannya lebih agresif.
Sementara itu bagi BMW iX xDrive45 Sport pula, ia didatangkan dengan rim aerodinamik bersaiz 21-inci jenis 1012 Bicolour 3D kemasan berkilat, yang menyerlahkan profil sporty sisi kenderaan serta meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Di dalaman, BMW iX mengekalkan suasana kabin yang luas dan mewah. Kedua-dua varian BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 dan BMW iX xDrive45 Sport 2025 dilengkapi dengan pencahayaan ambient dan bumbung kaca panoramik Sky Lounge. Sistem audio Harman Kardon dengan 18-pembesar suara berkuasa 655 watt memberikan pengalaman bunyi yang berkuasa, manakala BMW Live Cockpit Professional memberikan akses intuitif untuk mengendalikan navigasi, hiburan serta tetapan lain untuk kenderaan. Selain itu, BMW IconicSounds Electric turut memperkayakan pengalaman pemanduan dengan pelbagai audio eksklusif yang unik.
Kedua-dua model ini juga dilengkapi dengan kerusi pelbagai fungsi untuk pemandu, sistem akses keselesaan, ruang storan untuk pengecasan tanpa wayar serta sistem penyaman udara automatik dengan kawalan empat zon sebagai ciri standard. Bagi ciri ketersambungan untuk kedua-dua model ini pula, ia merangkumi panggilan kecemasan pintar, teleservis, perkhidmatan ConnectedDrive, pakej sambungan profesional dan integrasi telefon pintar sebagai ciri standard.
Khusus untuk BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025, pakej M Sport Pro yang ditawarkan sebagai standard turut memperkenalkan pelbagai elemen reka bentuk eksklusif seperti lambang M pada panel instrumen, kerusi pelbagai fungsi M dengan kemasan balutan kerusi Sensatec M berwarna hitam dan Alcantara dalam rona Atlas Grey serta jalur M berwarna.
Pakej ini turut merangkumi stereng kulit M dengan reka bentuk tiga jejari dan perincian Dark Silver, kemasan trim Dark Silver, serta pelapik bumbung dalaman antrasit. Bahagian perehat lengan dan panel instrumen juga dikemaskan dengan balutan Sensatec M berwarna hitam dan Alcantara Atlas Grey untuk tampil premium dengan tekstur mewah.
Melengkapkan gaya luaran yang lebih sporty, lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang menonjolkan lagi penampilan dinamiknya. Sebagai pilihan tambahan, ruang dalaman BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 boleh dipertingkatkan dengan Interior Design Suite. Kapasiti ruang barangan pula ialah 500 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,750 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Dari segi prestasi, kedua-dua varian BMW iX 2025 ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang digabungkan bersama teknologi eDrive BMW generasi kelima serta spesifikasi teknikal terkini — memberikan output kuasa lebih tinggi dan jarak pemanduan lebih jauh.
BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 menawarkan kuasa 400 kW (544 hp) dan tork 765 Nm, menjadikannya varian lebih berkuasa dan dinamik antara kedua-duanya. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.6 saat, untuk mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.
Jarak pemanduan elektriknya adalah sehingga 701 km mengikut kitaran WLTP, disumbangkan oleh bateri berkapasiti yang lebih besar dengan 111.5 kWh. Kadar pengecasan pantas DC dengan kapasiti maksimum 195 kW membolehkan BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 dicas hanya dalam 10 minit untuk mendapatkan jarak 217 km.
Bagi BMW iX xDrive45 Sport 2025 pula, ia hadir dengan janaan kuasa 300 kW (408 hp) dan tork 700 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 5.1 saat, dan laju maksimum 200 km/j. Model ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 602 km (WLTP). Dengan kapasiti bateri 100.6 kWh, kadar pengecasan turut dipertingkatkan dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 175 kW, naik 25 kW berbanding model sebelumnya (BMW iX xDrive40). Peningkatan ini membolehkan jarak sehingga 166 km diperoleh daripada pengecasan 10 minit.
Antara kelengkapan lain untuk model iX 2025 ini termasuklah BMW Digital Key Plus untuk mengakses kenderaan dengan pantas dan selamat. Sistem berkenaan merangkumi kunci fizikal, kad penyediaan dan kad servis, bagi proses pemasangan dan pengaktifan yang mudah.
Dengan menggunakan Kad Penyediaan, pengguna hanya perlu mendekatkannya ke telefon pintar atau mengimbas kod QR bagi mengaktifkan kunci digital. Ciri ini membolehkan sehingga 18 kunci digital dikongsi bersama pengguna lain, dengan tetapan peranan dan had tertentu seperti kelajuan atau pecutan.
Selain itu, sistem ini turut membolehkan kawalan fungsi kenderaan dilakukan melalui aplikasi My BMW. Kad Servis pula akan membolehkan peralihan semula ke penggunaan kunci fizikal sekiranya diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan atau kecemasan.
Bagi aspek sistem bantuan pemandu, model ini hadir standard dengan ciri Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus yang canggih.
BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 dan BMW iX xDrive45 Sport 2025 ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna luaran: Black Sapphire, Mineral White, Arctic Race Blue, Aventurine Red, dan Dune Grey.
Eksklusif untuk setiap model, BMW iX xDrive45 Sport 2025 turut tersedia dalam warna luaran Alpine White dan Sophisto Grey, dengan pilihan warna ruang dalaman Atelier Oyster, Atelier Mocha atau Atelier Black. Sementara itu, BMW iX xDrive60 M Sport Pro 2025 pula boleh didapati dalam warna eksklusif M Carbon Black, manakala ruang dalamannya ditawarkan dalam pilihan Interior Design Suite Amido, Interior Design Suite Castanea, serta reka bentuk dalaman M Sport berwarna hitam atau Atlas Grey.
BMW iX xDrive60 M Sport Pro
BMW iX xDrive45 Sport
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.