Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Ramli Kasa mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah memandu Proton Saga milik ibunya sejauh dua kilometer sebelum terbabas ke dalam longkan di Jalan Teluk Gong, Pelabuhan Klang.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Selatan telah memgesan kenderaan terbabit bersama pemiliknya dan tiga orang kanak-kanak yang dipercayai berada dalam kenderaan tersebut semasa kejadian. Kanak-kanak berkenaan terdiri daripada dua adik beradik yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan seorang lagi sepupu mereka warga tempatan.
“Siasatan awal mendapati, kenderaan terbabit telah dipandu oleh ibu mereka yang juga merupakan pemegang kad UNHCR dari kawasan Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang UTara menuju ke rumah kakak dua beradik berkenaan di Teluk Gong. Setelah tiba di rymah tersebut, si ibu meninggalkan anak-anak seketika untuk ke tandas dan anak lelakinya berusia 11 tahun mengambil kunci kereta lalu mengajak adik serta sepupunya pergi ke kedai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut Ramli lagi, kereta itu dipandu sejauh kira-kira 2 km sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke longkang bahu jalan. Tiada kecederaan dilaporkan dan Saga terbabit hanya mengalami kerosakan kecil sahaja.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak bertimbang rasa dan Seksyen 39 (1) akta sama kerana memandu tanpa lesen (bawah umur). Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti unsur pengabaian terhadap kanak-kanak terlibat.
“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar lebih peka dan berhati-hati terhadap pergerakan anak-anak. Jangan sekali-kali membiarkan kanak-kanak memandu atau menunggang sebarang kenderaan yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan diri dan orang lain,” tegasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
some typos but thanks for highlighting this news